RAGM rayu kes saman fitnah yang dimenangi Malaysiakini
Raub Australian Gold Mining (RAGM) telah memfailkan notis di Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bulan lepas yang menolak saman fitnah yang difailkannya terhadap Malaysiakini.
Hakim Mahkamah Tinggi Rosnaini Saub, pada 23 Mei lalu, menolak dakwaan syarikat lombong emas terhadap Malaysiakini dan tiga defendan lain, yang semuanya adalah anggota redaksi portal berita itu.
Hakim Rosnaini, dalam keputusannya berkata RAGM gagal membuktikan niat jahat di pihak Malaysiakini dan mengarahkan syarikat itu membayar RM50,000 sebagai kos kepada defendan.
Syarikat lombong emas itu memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini pada bulan September 2012, dengan mendakwa artikel yang disiarkan oleh portal berita telah merosakkan reputasinya.
Dakwaan bahawa sodium cyanide yang digunakan untuk pengekstrakan emas adalah berbahaya kepada penduduk Bukit Koman yang tinggal berhampiran adalah tidak berasas, syarikat itu berhujah di mahkamah.
Ia mendakwa bahawa penyiaran tiga artikel dan dua video yang berkaitan dengan operasi perlombongan emas syarikat itu di Bukit Koman di Raub, Pahang, adalah berunsur fitnah dan berniat jahat.
Hakim Mahkamah Tinggi Rosnaini dalam penghakimannya berkata aspek utama pembelaan Malaysiakini adalah isu kepentingan awam.
Katanya, sebarang perkara atau isu yang berkenaan dengan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan masyarakat adalah satu perkara yang sentiasa menjadi perhatian awam, bukan sahaja kepada masyarakat tertentu tetapi juga orang awam.
Artikel-artikel tersebut dan video itu, tambahnya, adalah perkara yang membimbangkan awam di mana orang ramai secara amnya mempunyai hak untuk mengetahui maklumat dan defendan sebagai media serta wartawan di bawah sekurang-kurangnya tanggungjawab moral untuk menerbitkan yang sama.
Hakim juga menambah bahawa Malaysiakini bukan hanya menyiarkan laporan berita yang dianggap buruk terhadap syarikat lombong emas itu, tetapi juga telah menerbitkan laporan berita yang dilihat memihak kepada syarikat itu.
Syarikat itu turut memfailkan satu lagi saman terhadap pemimpin penduduk Bukit Koman, Hue Shieh Lee di mana ianya juga telah ditolak mahkamah.
Syarikat Lombong emas itu juga telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
RAGM diwakili oleh peguam Cecil Abraham dan Sunil Abraham, manakala peguam James Khong dan Syahredzan Johan bertindak bagi pihak Malaysiakini.
Syahredzan berkata Malaysiakini akan "menentang rayuan itu di Mahkamah Rayuan".

