Azmin turun berkempen bantu calon AMANAH minggu ini
Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali akan turun berkempen untuk calon-calon Pakatan Harapan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar dalam minggu ini.
Kenyataan itu muncul selepas timbulnya spekulasi oleh BN yang menyebut ketiadaan Azmin semasa kempen dalan dua pilihan raya kecil itu sebagai petanda perpecahan dalam Pakatan Harapan.
Ketiadaan Azmin dikaitkan dengan keputusan untuk meletakkan calon AMANAH di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bagi mewakili Pakatan Harapan.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Azmin akan menyertai Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kuala Kangsar selepas menjalankan komitmen beliau di Selangor.
"Kedatangan MB (Azmin) datang semasa pencalonan cukup untuk mempamerkan komitmen PKR dan pilihan Pakatan Harapan dalam meletakkan AMANAH.
"Sudah tentu dia perlu mengikuti Sultan ( Selangor) untuk program harian, keadaan ini telah difahami oleh kedua-dua kepimpinan (PKR dan Amanah)," kata Nurul Izzah sebagai menjawab kepada spekulasi kehilangan Azmin di Sungai Besar.
Wan Azizah dan lain-lain pemimpin tertinggi parti sebelum ini telah menegaskan bahawa Azmin diperlukan untuk menjaga kerajaan Selangor yang terdiri daripada PAS , PKR dan wakil DAP.
Nurul Izzah yang juga pengarah pilihan raya PKR Sungai Besar berkata, kebanyakan pemimpin tertinggi parti itu dari Selangor sedang berkempen untuk pilihan raya kecil berkenaan.

