Nufam: Rayani digantung kerana tiada 'kabel' besar?
Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan (Nufam) mempertikai pembatalan terus lesen perkhidmatan udara (ASL) Rayani Air tanpa menggantungnya terlebih dahulu.
Nufam berkata, tindakan itu hanya memburukkan lagi statusnya, “menghancurkan syarikat” dan masa depan pekerja.
Nufam membangkitkan isu pilih bulu dengan mendakwa banyak syarikat besar pernah berdepan isu serupa.
“Pihak berkuasa juga harus bersikap adil dan telus dalam mengendalikan isu ini kerana mungkin pengurusan Rayani Air tidak ada 'kabel' yang besar seperti syarikat penerbangan yang lain,” kata Nufam.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada 13 Jun membatalkan ASL Rayani kerana melanggar syarat lesen dan tidak mempunyai keupayaan kewangan sebagai syarikat penerbangan komersial.
Rayani akan merayu kepada Mavcom dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk diberikan peluang kedua bagi pelabur baru memulihkan syarikat itu.
Dalam kenyataan hari ini, Nufam membangkitkan desas-desus terdapat pihak mengambil kesempatan mendesak pihak berkuasa menutup Rayani susulan iri hari dengan konsep patuh syariah.
Rayani sejak awal mempromosikan syarikatnya sebagai sebuah penerbangan patuh syariah, yang antaranya membacakan doa sebelum berlepas dan menampilkan pramugari bertudung.
Nufam mencadangkan penggunaan orang tengah untuk mengendalikan kemelut Rayani dan tidak perlu dibawa ke mahkamah kerana penyelesaiannya mengambil masa.
“Kami percaya harapan penyelesaian masih ada bagi syarikat Rayani Air dan insya-allah jikalau niat pengurusan Rayani itu jujur dan baik, masalah ini mungkin boleh selesai bagi kebaikan semua pihak yang terlibat dalam krisis ini,” katanya.
“Nufam mengharapkan pihak pekerja pula dapat berkompromi dan mengambil jalan tengah menyelesaikan masalah mereka untuk kebaikan masa depan mereka bersama syarikat Rayani Air,” katanya.

