Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semangat raya, Nga maafkan peserta demo 'duit neraka'
Diterbitkan:  Jul 13, 2016 9:01 AM
Dikemaskini: 5:49 AM

Ahli Parlimen DAP Taiping Nga Kor Ming berkata, beliau memaafkan peserta protes dari Pemuda Umno dan Gerakan Merah yang menyertai demonstrasi terhadapnya di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, semalam.

Mereka menuduh Nga tidak menghormati Islam dalam dua posting Facebook pada Hari Raya Aidilfitri, tetapi Nga berkata posting itu dibuat oleh satu fanpage tanpa izin.

"Pada bulan Syawal ini, saya akan memaafkan mereka atas semangat Hari Raya Aidilfitri bagi kelakuan biadap mereka. Tetapi rakyat harus ingat Umno tidak lagi relevan untuk menerajui negara ini.

"Mereka ketinggalan zaman dan muflis dari segi moral. Malaysia layak menikmati masa depan yang lebih baik," kata Nga kepada Malaysiakini.

Kedua-dua posting itu ialah ucapan Hari Raya menggunakan bendera Amerika,  dan satu lagi, kartun yang menggambarkan kanak-kanak tidak meminta 'duit raya' tetapi meminta 'derma' atau 'dedak'.

Dedak, perkataan Melayu untuk makanan haiwan, biasanya digunakan di kalangan politik untuk merujuk kepada pemberian bagi mendapatkan sokongan penyokong dan sekutu.

Peserta protes semalam juga melontar duit neraka itu di hadapan ibu pejabat DAP, untuk "kematian" DAP.

Duit neraka adalah menyerupai wang dan mengikut adat Cina ia dibakar sebagai persembahan kepada nenek moyang si mati.

Nga berkata, penggunaan duit neraka dan "keganasan terhadap polis", yang mengawal peserta protes itu daripada memasuki ibu pejabat DAP, memberi gambaran kurang baik terhadap Pemuda Umno.

"Saya percaya orang ramai akan menghakimi dan mengutuk kelakuan mereka yang tidak munasabah itu," katanya.

Nga berkata demonstrasi itu adalah "haram" kerana polis tidak dimaklumkan 10 hari sebelumnya, mengikut Akta Perhimpunan Aman.

"Ia hanya membuktikan sikap dwi-standard Umno," katanya, mengulangi "kempen memburukkannya".

Beliau berkata, "perhimpunan haram" itu adalah untuk mengalihkan perhatian daripada tekanan awam di tengah-tengah isu 1MDB dan kebocoran laporan Ketua Audit Negara mengenai firma pelaburan milik negara.

Secara berasingan, peguam Syahredzan Johan juga mempersoalkan kesahan perhimpunan itu dan menyatakan bahawa orang lain, termasuk anak guamnya exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad, telah didakwa kerana tidak memberi notis yang sewajarnya.

Posting kontroversi itu pada 8 Julai, kata Syahredzan, maka ini bermakna mustahil penganjur perhimpunan sempat memberi notis 10 hari menurut kehendak Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman.

"Jangan salah faham. Saya berpendirian bahawa Seksyen ini tidak berperlembagaan. Ia menyekat kebebasan berhimpun dengan aman rakyat. Saya juga tidak mahu sesiapa dituduh di Mahkamah dengan undang-undang anti-demokratik ini.

"Tetapi ini adalah ujian litmus untuk kita ukur sama ada undang-undang di negara ini dilaksanakan dengan adil dan saksama.

"Ia juga menunjukkan kelemahan undang-undang ini apabila rakyat terpaksa tunggu 10 hari untuk berdemo tentang sesuatu isu yang hangat," katanya.

Lapor polis

Sementara itu, Nga hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Ipoh berhubung isu itu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata tidak pernah melukis dan memuat naik gambar tersebut ke dalam akaun Facebook beliau.

Nga juga berkata sedia hadir ke ibu pejabat polis di Bukit Aman pada minggu depan untuk membantu siasatan dan berharap perkara itu tidak dipanjangkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS