Nak palitkan Najib? Selamat berjaya, kata Umno
Tan Sri Annuar Musa mengucapkan “selamat berjaya” kepada pihak yang cuba memalitkan perdana menteri selepas Amerika Syarikat (AS) memulakan usaha menyita aset 1MDB.
“Sekali lagi kita ucap selamat berjaya pada pembangkang. Mereka boleh terus mencubanya dengan cara mereka.
“Kerajaan ada cara kerajaan.
“Umno ada cara Umno,” kata Ketua Penerangan Umno itu dalam sidang media selepas melancarkan pusat perniagaan Mara Digital 2 di Shah Alam hari ini.
Jabatan Keadilan (DOJ) AS semalam mengumumkan mahu menyita aset berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB selepas didakwa terlibat dengan salah guna dan pengubahan wang haram.
Ia bakal mencatat sejarah sebagai sitaan terbesar dalam sejarah negara kuasa besar itu.
Wang daripada dana 1MDB juga dikatakan “dicuri” dan “Malaysian Official 1” antara pihak yang disebut.
Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali menegaskan tiada wang daripada 1MDB digelapkan dan Najib tidak dinamakan sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku.
Bagaimanapun, pemimpin pembangkang mendakwa Malaysian Official 1 ialah Najib sendiri.
Sementara itu, Annuar menyalahkan “putar belit” yang tidak ada kena mengena dan cuba memalitkan Najib.
Katanya, DOJ hanya melaksanakan apa yang terkandung bawah bidang kuasa undang-undang yang sedia wujud di AS.
“1MDB tidak ada aset di Amerika. 1MDB tidak terlibat dalam kenyataan DOJ semalam. Dia menyebut secara spesifik beberapa nama tertentu atas aset atau pelaburan yang ada di AS.
“Ia bukan merupakan saman jenayah tetapi saman sivil yang kena melalui proses-proses tertentu. Dan secara jelas di situ 1MDB ataupun PM tidak terkait dengan apa yang sedang mereka cuba lakukan,” katanya.
Annuar juga menegaskan bahawa terdapat proses undang-undang dalam negara ini yang melibatkan pelbagai pihak.
“Jadi proses itu patut berjalan tanpa sibuk cuba nak mempolitikkan perkara itu. Begitu juga yang di AS sekarang.
“Jadi kalau itu difahami, tidak ada masalah. Tapi ada orang ambil kesempatan. Banyak pihak tak memahami apa sedang berlaku di Amerika, di sini dan sebagainya,” katanya.

