Paling Popular
Terkini

Pergerakan Pemuda Umno berharap kes saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadap aset 1MDB diteruskan di mahkamah supaya segala persoalan mengenai skandal itu dapat dipastikan kebenarannya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pergerakan itu memandang serius segala dakwaan DOJ kerana ia melibatkan sejumlah wang besar didakwa diselewengkan.

“Kita berharap proses (saman sivil DOJ) ini akan dapat dijalankan supaya kita dapat kepastian," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata Pemuda Umno tidak mahu mana-mana pihak menganggap apa yang didakwa DOJ itu benar.

"Ia kerana (dakwaan DOJ) itu (cuma) hasil siasatan dan masih lagi perlu dibuktikan di mahkamah,” kata Khairy.

DOJ pada 20 Julai lalu memfailkan saman sivil ekoran dakwaan dana daripada syarikat milik kerajaan Malaysia, 1MDB, digelapkan.

Saman itu dikemukakan bagi membolehkan pihak berkuasa AS mendapatkan kembali aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa DOJ diperoleh melalui dana 1MDB.

Bagaimanapun Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali siasatan pihak berkuasa negara ini ke atas 1MDB tidak ada bukti menunjukkan dana firma itu digelapkan.

Apandi juga berkata tiada pertuduhan jenayah diambil ke atas mana-mana individu atas dakwaan menggelapkan dana 1MDB.

Dalam dokumen DOJ itu pihak berkuasa AS memetik beberapa nama, termasuk hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) dan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Satu lagi individu yang menarik perhatian ramai ialah seseorang yang hanya dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1’ dan menerima wang bernilai AS$731 juta dari dana 1MDB.

Saman itu memohon kebenaran pihak berkuasa menyita beberapa harta tanah serta aset lain yang dikaitkan dengan wang 1MDB.

Tetap pendirian dulu

Mengulas lanjut, Khairy berkata pihaknya berharap segala tuduhan terhadap 1MDB akan terjawab dengan keputusan kes saman sivil berkenaan.

“Namun demikian kita pun mengambil maklum perkara ini belum dibuktikan dan perlu dibawa ke mahkamah.

"(Saman) sivil ini akan menentukan sama ada aset tersebut diperolehi dengan cara tidak sah.

"Tidak ada apa-apa yang telah dibuktikan buat masa ini,” kata Khairy.

Anggota Parlimen Rembau itu juga bersetuju pandangan Najib supaya orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai saman sivil berkenaan.

Pada masa sama, katanya, individu yang disebut dalam dokumen DOJ itu perlu membersihkan nama masing-masing.

Sementara itu Khairy berkata penting bagi pihak berkuasa di negara ini membuat siasatan sekiranya ada sebarang penyelewengan berlaku.

Kata Khairy, perkara tersebut juga dapat dilaksana sekiranya maklumat berkenaan diberikan kepada agensi penguat kuasa Malaysia.

Sementara itu mengulas pendirian Khairy bahawa wang RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun persendirian Najib, ini jawapan beliau: “Saya kata secara umum bahawa yang memberi sumbangan itu adalah daripada sumber yang menyokong, bukan ahli Umno atau pun penyokong Umno tempatan. Sudah pasti sumbangan kepada parti mestilah individu yang menyokong kita, sama ada rakyat Malaysia atau warganegara asing. Tetapi ia mestilah ada keyakinan kepada parti.

“Tidak ada sesiapa yang memberi duit kepada parti, sumbangan kepada parti atau mana-mana parti yang tidak menyokong parti tersebut. Ini logik,” tegas Khairy.

Khairy pada Ogos tahun lalu menyatakan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukan ke akuan perdana menteri adalah pemberian penyokong Umno.

Mengulas dakwaan beberapa pihak yang mendakwa Umno goyah ekoran kes saman sivil DOJ, Khairy berpendapat tidak ada mana-mana pihak menyatakan hasrat meninggalkan Umno.

“Setakat ini dalam Pemuda tidak ada siapa yang telah menyatakan keinginan untuk keluar dari parti disebabkan semua memahami bahawa proses kehakiman ini perlulah diadakan supaya kita dapat tengok kesahihan dakwaan tersebut,” katanya.

Lihat Komen
ADS