Pua kesal rakan-rakan tinggalkan dalam telanjang
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua kecewa dengan rakan-rakan yang gagal bersama seperti yang dijangkakan.
"Kadang-kadang, kita tertanya-tanya, apa jenis rakan yang kita ada. Apabila mereka dalam krisis, kita ke hulu dan ke hilir menyokong mereka ke hulu, tanpa mengira apa yang bakal berlaku.
"Tetapi apabila tiba masa kita perlukan sokongan, mereka bocorkan segala-galanya terlebih dahulu kepada media, meninggalkan kita dalam keadaan telanjang sepenuhnya.
"Ataupun mengumumkan kepada dunia secara terbuka sebelum mereka berbincang dengan kami," katanya dalam laman Facebook petang ini.
Sesetengah pihak membuat spekulasi bahawa Pua yang juga adalah ahli parlimen Petaling Jaya Utara merujuk kepada pendirian PKR mengenai cadangan DAP yang mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri pulau Pinang dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
DAP pada tahun 2014, berdiri teguh dan menyokong PKR semasa krisis menteri besar di Selangor.
Bagaimanapun, Pua memilih untuk tidak mengulas lanjut apabila dihubungi.
"Tiada komen," katanya menjawab mesej teks Malaysiakini ketika ditanya mengenai posting kaburnya itu.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu masih tidak yakin mengenai keperluan untuk mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PKR, yang menurutnya juga mengambil kira pandangan daripada masyarakat sivil.
DAP mempunyai 18 kerusi, manakala PKR 10 dan PAS 1 di Pulau Pinang.
Sesetengah pemerhati politik mendakwa PKR berdepan risiko kehilangan beberapa kerusi di kawasan majoriti Melayu jika pilihan raya negeri diadakan sekarang.

