'SPRM diberitahu agar setia dengan bos baru'
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu setia kepada calon yang dipilih untuk menggantikan Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed, selagi arahannya mengikut peraturan dan undang-undang.
Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Abdul Samat Kasah berkata, ini adalah mesej peribadi Abu Kassim kepada semua pegawai dan kakitangannya.
"Beliau (Abu Kassim) beritahu kami: Kamu mesti setia kepada sesiapa yang mengetuai organisasi ini.
"Selagi arahannya mengikut peraturan dan undang-undang," kata Abdul Samat kepada Malaysiakini ketika ditemui di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
"Kami menerima sesiapa sahaja yang datang dengan hati terbuka kerana pada akhirnya ia adalah mengenai organisasi dan negara ini," kata Abdul Samat ketika diminta mengulas spekulasi ke atas penggantian Abu Kassim, termasuk calon bagi jawatan itu tidak dipilih dalam kalangan mereka sendiri.
Terdapat kebimbangan awal dibangkitkan bahawa pengganti yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara mungkin menjejaskan kesinambungan usaha-usaha antirasuah yang dilaksanakan dan kebebasan suruhanjaya itu.
Antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon termasuk Timbalan Ketua Polis Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Datuk Dzulkifli Ahmad, seorang pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara.
Tetapi Noor Rashid berkata, dia tidak tahu apa-apa mengenai tawaran untuk melantik beliau sebagai ketua SPRM.
Bagaimanapun, bosnya, Tan Sri Khalid Abu Bakar seolah-olah menerima idea agar Noor Rashid mengambil alih jawatan itu.
Mengulas lanjut, Abdul Samat berkata: "Setiap orang mempunyai gaya kepimpinan sendiri.
"Tetapi bagi kami, warisan yang ditinggalkan oleh Abu Kassim adalah bahawa kamu (kakitangan) perlu melakukan perkara yang betul mengikut peraturan dan undang-undang dan memikirkan bagaimana kamu boleh melakukannya dengan lebih baik," katanya.
Sementara itu, Abdul Samat juga menyifatkan Abu Kassim sebagai pemimpin yang berwawasan.
"Kadang-kadang pegawai merasakan seperti kita tidak dapat bersama idea-ideanya tetapi dia akan sentiasa mendorong kita untuk pergi lebih jauh," kata Abu Samat yang teringat pengalaman bekerja dengan Abu Kassim, terutamanya dalam proses mengubah Badan Pencegah Rasuah yang kemudian dikenali sebagai SPRM.
SPRM akan mengadakan majlis perpisahan rasmi untuk Abu Kassim petang ini.

