Pembikin filem terkenal Afdlin Shauki mengumumkan dia memboikot Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) 2016 ekoran bantahan semalam terhadap segregasi filem di anugerah FFM itu.
"Minta maaf tahun ni saya boikot FFM," tulisnya di Facebook malam tadi.
"Bilalah anak Malaysia tak kira bangsa akan betul-betul dihargai karya-karya seni mereka sebagai karya Malaysia.
"All the best kepada yg tercalon!!! FFM committee good luck to you all too," tulis Afdlin di Facebooknya.
Kali ini masalah yang timbul disebabkan tercetusnya polemik perkauman - menerusi kategori Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia yang dicalonkan bagi anugerah FFM ke-28 itu.
Presiden Persatuan Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), Alfie Palermo menerusi kenyataan medianya mempersoalkan kewujudan pengasingan dalam kategori filem terutama membabitkan Bahasa Melayu dan bukan bahasa kebangsaan itu.
