Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini bersetuju dengan pandangan mengenai keperluan bagi parti-parti pembangkang untuk bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Wan Azizah yang juga adalah ketua pembangkang, berkata ini lebih-lebih lagi kerana parti pemerintah BN telah berkuasa sejak kemerdekaan negara.

"Kita lihat dalam senario politik Malaysia, BN telah menjadi kerajaan pusat sejak kemerdekaan.

"Jadi sebarang bentuk perubahan yang mahu kita lakukan, kita mesti bersatu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Wan Azizah juga berkata gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat menang undi popular pada tahun 2013 kerana mereka bersatu menentang BN pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kerjasama PKR dengan parti yang baru didaftarkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan diketuai oleh bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jadi, kita (PKR) alu-alukan kerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin dan parti barunya, dan kita berdoa untuk kesihatan Tun Mahathir supaya kita terus bekerjasama," katanya.

Presiden, Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Datuk Ambiga Sreenivasan semasa sambutan hari jadi Anwar malam semalam, berkata hadiah terbaik untuk ketua umum PKR itu adalah pembangkang bersatu menentang BN.

[Baca berita penuh]