Saya dulu 'bapa demo', sedar ia tak berguna - TPM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, demonstrasi jalanan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah yang dihadapi oleh negara ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau tahu dan sedar mengenainya kerana pernah berpengalaman selaku 'bapa demonstrasi' suatu ketika dahulu.
Beliau yang juga naib presiden Umno merujuk kepada pengalaman menganjurkan bantahan sebagai pemimpin belia pada 1970-an.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah baru-baru ini berkata, pihaknya telah memutuskan akan mengadakan perhimpunan BERSIH 5.0 susulan pendedahan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai 1MDB.
PAS, bagaimanapun, belum memutuskan untuk menyertai perhimpunan tersebut walaupun parti pembangkang lain terutama DAP dan PKR cenderung untuk menggemudi jentera parti untuk menyertainya, seperti sebelum-sebelum ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran, BERSIH tidak boleh mengadakan perhimpunan BERSIH 5.0 jika ia bertujuan menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kami tidak akan membenarkannya kerana ada cara untuk meminta perdana menteri meletak jawatan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang," ujar Khalid semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur.
"Jika mereka meminta perdana menteri meletak jawatan mengikut undang-undang, kita boleh menerimanya," jelas beliau lagi.

