'Diintai' kerusi mereka, namun PKR kelihatan berlapang dada dan bersedia berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin berkata asas rundingan itu ialah memastikan parti pembangkang bekerjasama bagi memungkinkan pertandingan satu lawan satu menghadapi BN.

Bagaimanapun kata Shamsul Iskandar dasar berunding itu tidak terhad kepada BERSATU semata-mata sebaliknya mana-mana parti yang bersedia untuk bekerjsama.

“Dia (BERSATU) kata nak berunding, kita berundinglah. Sekarang ini kenyataan ini adalah kenyataan parti BERSATU supaya ada perundingan.

“Saya percaya semua parti yang berhasrat melawan BN pasti akan duduk semeja dan mencari formula perlawanan satu lawan satu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam portal ini melaporkan BERSATU sedang 'mengintai' beberapa kerusi milik PKR dan PAS untuk meletakkan calon mereka pada PRU akan datang.

Presiden penaja BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rundingan pembahagian kerusi antara pihaknya dan pembangkang lain akan dimulakan sebaik saja pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Kata Muhyiddin lagi, ia adalah antara agenda utama parti berkenaan sebaik saja pendaftarannya diterima.

Menurut beliau mana-mana parti yang mempunyai peluang paling cerah untuk menang wajar diberikan kerusi berkenaan untuk ditandingi.

PRU ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya Mei 2018.

Strategi belum muktamad

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata keputusan pembahagian kerusi antara parti pembangkang akan ditetapkan selepas rundingan dengan BERSATU menemui kata putus.

“Nak intai, intailah itu hak dia nak intai. Tetapi tak boleh buat banyak sebab sekarang baru nak berunding.

"Kita tak boleh tetapkan keputusan sebelum rundingan berlangsung.

“Saya fikir rundingan itu akan memutuskan pendirian parti dan akhirnya kita akan buat keputusan muktamad,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata pada dasarnya beliau berpendapat formula satu lawan satu menghadapi BN adalah yang terbaik.

Namun katanya setakat ini PAS belum memuktamadkan lagi strategi mereka menghadapi PRU14 - sama ada satu lawan satu, tiga penjuru atau kombinasi keduanya.

"Nak bincang (pembahagian) kerusi pun (masih) terlalu awal," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mustafa juga berkata pada masa sama PAS tidak mempunyai hubungai baik dengan Pakatan Harapan walaupun ia tidak bermasalah dengan PKR.

Parti BERSATU pula, kata Mustafa, belum tertubuh secara rasmi.

"Saya ada berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin tapi belum lagi parti itu didaftarkan pun. (Kami) ada berbincang cara umum namun kena tunggu sehingga PAS memuktamadkan strategi dan keadaan akan menjadi lebih jelas selepas itu," katanya.

Ditanya bila PAS akan memuktamadkan strategi mereka, Musfata berkata: "Saya rasa pada akhir tahun inilah."