Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tiada sebab untuk Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz meletak jawatan berikutan siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPR) terhadap pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Lembaga Penasihat DBKL Datuk Rizalman Mokhtar berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan supaya Mohd Amin meletakkan jawatan kerana Datuk Bandar itu tidak terlibat dan mungkin tidak menyedari perbuatan rasuah tersebut.

“Ini tak ada kena mengena dengan Datuk Bandar. Kita kena ingat, satu ketua jabatan bukan semua benda dia tahu.

“Saya tak setuju kalau Datuk Bandar harus meletakkan jawatan kerana perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi Jalur Gemilang Merdeka Jabatan Penerangan di Balai Bomba Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pagi ini.

Rizalman yang juga pengerusi jawatankuasa perumahan DBKL berkata tuduhan itu tiada kena mengena dengan Datuk Bandar kerana proses pengagihan kuasa berlaku pada setiap jabatan dalam agensi itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penangkapan 'Datuk Seri' yang dipercayai memiliki 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta oleh SPRM minggu lalu.

Sementara itu, ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak itu berkata mana-mana pegawai DBKL yang terlibat telah "mengkhianati" kepercayaan rakyat dan tindakan tegas perlu diambil.

“Apa telah dilakukan oleh SPRM sekiranya betul, sekiranya dakwaan itu benar, saya fikir satu tindakan tegas perlu digunakan pada mana-mana pihak yang terlibat.

“(Ia) kerana isu perumahan ini satu isu yang melibatkan kepentingan masyarakat dan kita anggap mana-mana mereka yang terlibat ini sekiranya betul, ini sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat yang betul-betul memerlukan rumah,” katanya.

SPRM pada Jumaat dilapor mengesahkan akan memanggil 30 lagi pegawai DBKL untuk disoal siasat berikutan penangkapan itu.

Ini kerana pegawai terbabit mungkin telah bekerjasama dengan 'Datuk Seri' berkenaan dengan menyalahgunakan kedudukan mereka.

Lihat Komen
ADS