Gerakan atau mana-mana pihak yang menganggap wanita yang menjadi calon pilihan raya perlu cantik dan seksi sepatutnya membuka agensi peragaan, kata seorang pemimpin pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menurut Shazni Munir Mohd Ithnin Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bukanlah pentas untuk memperagakan kecantikan seseorang.

Justeru katanya tidak wajar mana-mana pihak berfikir ke arah itu.

"Parlimen Malaysia dan DUN bukan pentas peragaan model.

"Kalau parti-parti politik mula berfikir ke arah itu, lebih baik bubarkan parti mereka dan buka modelling agency (agensi peragaan)," kata naib ketua pemuda AMANAH itu kepada Malaysiakini hari ini.

Siang tadi seorang pemimpin Gerakan mencadangkan parti itu memilih calon dikalangan wanita muda dan seksi untuk bertanding dalam pilihan raya.

Anggota jawatankuasa pusat Gerakan yang juga Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia parti itu Datuk Baljit Singh berkata apabila didapati peluang memenangi sesuatu kerusi ditandingi parti itu adalah sangat tipis, mereka perlu meletakkan calon wanita muda, seksi dan "sanggup melakukan segala-galanya".

"Kalau nak kerusi yg sure (pasti) 100 peratus kalah, kenapa nak letak calon yang (berusia) 70 tahun, lelaki Cina 70 tahun, 80 tahun?

"Kenapa tak letak seorang wanita cantik, manis, energetic (bertenaga), seksi, dan sanggup melakukan segala-galanya (demi parti)?" katanya di Kuala Lumpur.

ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin (gambar) berkata kenyataan Baljit dianggap dangkal serta jelas bersifat seksis.

"Pilihan raya bukan mengenai wanita muda sebaliknya hal yang sangat serius. Ia berkaitan kesejahteraan negara dan asas pembinaan sebuah negara seperti pentadbiran yang bersih, demokratik dan keadilan sosial serta ekonomi.

"Beliau patut meminta maaf dan menjalani latihan sensitiviti jantina," katanya.

Ketua Srikandi PKR Aishah Shaik Ismail turut berkongsi pendapat dengan Yeo.

Kata senator itu kenyataan Baljit dianggap menghina wanita.

"Ia menunjukkan betapa tidak matangnya Gerakan, serta terdesaknya mereka mahukan kemenangan," katanya.

Bagi Aishah seseorang wanita perlu dijadikan calon atas kemampuan mereka membawa misi dan visi untuk masa depan negara.

Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kenyataan Baljit bukan sekadar menghina wanita, malah lelaki.

"Ia bermaksud lelaki tidak tertarik kepada intelektual manusia tetapi tahap seksi wanita," katanya.

Ketua Puteri Umno Kepong Hazrene Begum Mohd Husin berkata "seksi" bukan perkataan yang tepat untuk digunakan dan tidak selaras dengan pandangan golongan muda negara ini.

"Perkara terpenting dalam politik ialah pengetahuan. Mereka (seseorang calon) perlu diterima ramai dan tidak dinilai berdasarkan penampilan atau nampak murah," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii pula berpendapat Baljit mungkin mahu menempelak DAP yang mempergunakan wanita cantik untuk menarik sokongan golongan muda.

Kata Mohd Razlan seseorang wanita muda tidak sepatutnya menjadi calon semata-mata kerana "paras rupa" sebaliknya disebabkan BN perlu diwakili oleh generasi muda.

[Baca berita asal]