Sekumpulan aktivis anti-BERSIH berhimpun di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar dan menghadiahkan Lim Guan Eng sebatang penyapu berikat reben kuning.
Penyapu itu diserahkan sebagai lambang gesaan supaya Lim membersihkan diri daripada dakwaan rasuah sebelum sibuk dengan perhimpunan BERSIH 5 pada bulan depan.
BERSIH ditubuhkan sebagai kumpulan pendesak ke arah memastikan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.
Jurucakap kumpulan itu Aminah Abdullah, yang mewakili NGO yang Persatuan Kebajikan Insan Mulia berkata mereka sudah jemu dengan kehadiran BERSIh dan “Baju Kuning”.
Bagaimanapun tidak sampai sepuluh orang hadir dalam perhimpunan itu, menyaksikan kehadiran pengamal media yang lebih ramai.
Aminah menyerahkan penyapu berbalut kertas minyak dan berikat reben kuning itu, berserta memorandum dua halaman kepada seorang pegawai pejabat Lim.
Lim pada Isnin lalu melancarkan pameran gambar BERSIH di negeri itu manakala Pengerusi BERSIH Maria Chin telah menyerahkan obor simbolik gabungan itu padanya.
BERSIH sedang mengadakan konvoi di seluruh negara bagi menarik sokongan terhadap perhimpunan 19 November ini.
Perhimpunan kali ini turun mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan dakwaan skandal kewangan 1MDB.
