Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Serangan pada wartawan semalam tak bertamadun
Diterbitkan:  Oct 16, 2016 1:07 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) menganggap kekecohan melibatkan kumpulan ant-BERSIH dan petugas media di Kuala Selangor semalam dilakukan pihak yang tidak dapat berfikir waras.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini NUJ berkata pertubuhan itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kumpulan anti-BERSIH itu mengganggu tugas serta mengancam keselamatan petugas media.

"Kumpulan ini jelas terlalu mengikut emosi dalam setiap tindakan mereka sehingga tidak dapat berfikir seperti seorang yang waras.

"Ternyata kumpulan ini tidak faham dan daif tentang tugas wartawan yang sebenar.

"Mereka bertindak seperti seorang yang tidak bertamadun sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi," kata kenyataan itu.

Semalam berlaku kekecohan dan kekasaran ke atas beberapa petugas media ketika mereka membuat liputan konvoi BERSIH dari Sekinchan ke Kuala Selangor.

Insiden itu berlaku di depan sebuah pasar raya melibatkan beberapa individu sejurus selepas Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah tiba.

Pada mulanya Armand dan penyokong BERSIH dilihat berjabat tangan dan berpelukan tetapi individu di sebelahnya tiba-tiba mula memprovokasi penyokong BERSIH.

Jangan mangsakan wartawan

Seorang daripada kakitangan media yang dikasari ialah petugas Malaysiakini sendiri.

Kata NUJ insiden berkenaan cukup memalukan kerana ada golongan seperti itu masih wujud dalam negara ini.

"NUJ berharap pihak polis menahan golongan ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.

"Petugas media juga perlu mendapat keadilan dan perlindungan sewajarnya daripada ancaman yang boleh mengganggu gugat diri mereka untuk melaporkan berita yang benar.

"NUJ juga menggesa polis menangkap segera ketua kumpulan ini demi keharmonian dan keamanan Malaysia tercinta," kata NUJ.

Pertubuhan itu juga akan membuat laporan polis ke atas kumpulan anti-BERSIH kerana insiden semalam membabitkan ahli NUJ.

Sementara itu Gerakan Media Marah (Geramm) turut menyatakan kesal dengan insiden provokasi dan ugutan terhadap petugas media semalam.

Difahamkan, kata Geramm, pemimpin belia sebuah parti politik utama turut kelihatan di tempat kejadian.

"Kerja petugas media hanyalah untuk melaporkan perkara yang berlaku dan tidak patut dilibatkan dalam sebarang perbalahan politik.

"Semua pihak khususnya parti politik tidak patut memangsakan wartawan yang hanya menjalankan tugas," kata perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya itu.

Lihat Komen
ADS