Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, beliau tiada maklumat tentang kenyataan pemimpin gerakan ‘baju merah’ Datuk Seri Jamal Yunos yang mendakwa gabungan BERSIH diresapi pengganas IS.

"Tidak ada maklumat," kata Zahid yang juga menteri dalam negeri pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung dakwaan ketua Umno bahagian Sungai Besar itu yang membuat laporan polis bahawa BERSIH mempunyai elemen kumpulan pengganas IS.

Jamal pada 28 September lalu dilaporkan mendakwa perhimpunan BERSIH 5 yang dijadualkan pada 19 November ini diserapi elemen kumpulan pengganas IS.

Jamal berkata, kenyataan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang diterimanya dairpada sumber yang boleh dipercayainya.

Jamal juga mendakwa BERSIH mahu menjatuhkan kerajaan melalui cara pernah dilakukan di Thailand, iaitu dengan mengepung tempat-tempat penting dalam negara seperti lapangan terbang KLIA, KLIA2 dan Putrajaya.

Selain itu, ketika ditanya tentang kekecohan yang berlaku terhadap kumpulan BERSIH serta pengamal media minggu lalu, Zahid berkata kerajaan berlaku adil terhadap semua pihak.

"Kerajaan berlaku adil. Kita laksana undang-undang tidak berdasarkan pada warna sama ada kuning atau merah.

"Jika mana-mana pihak langgar undang-undang dalam Akta Perhimpunan Aman, tindakan akan dilakukan sewajarnya.

"Kita ikut undang-undang," katanya.

Sabtu lalu, Malaysiakini melaporkan terdapat kekecohan melibatkan kumpulan BERSIH, anti-BERSIH dan pengamal media di Kuala Selangor.

Bagaimanapun, Jamal yang juga pengerusi Gerakan Baju Merah menafikan pihaknya terlibat dalam kekecohan itu dan menganggap ia sebagai kebetulan.