Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MTUC mahu wartawan bebas bertugas, dilindungi
Diterbitkan:  Oct 20, 2016 3:33 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan sokongan mereka kepada wartawan dan meminta pihak berkuasa segera bertindak terhadap mana-mana pihak yang mengasari petugas media.

Dalam kenyataan pertubuhan itu hari ini MTUC turut menyambut baik tindakan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) membuat laporan polis selepas beberapa petugas dikasari penyokong kumpulan baju merah di Kuala Selangor pada 15 Oktober lalu.

"Menjadi tanggungjawab wartawan untuk membuat liputan terhadap mana-mana perhimpunan dan aktiviti yang berlangsung.

"Justeru pihak berkuasa perlu memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka yang menjalankan tugasan.

"Dalam hal ini menjadi tanggungjawab polis dan kementerian dalam negeri menyiasat perkara ini dan memberikan keadilan kepada pihak yang teraniaya," kata Setiausaha Agung MTUC N Gopal Kishnam.

Berlaku kekecohan di depan sebuah pasar raya di Kuala Selangor ketika konvoi BERSIH mengedarkan risalah kepada orang ramai pada Sabtu lalu.

Dalam kekecohan itu beberapa petugas media - termasuk seorang pekerja Malaysiakini - dikasari serta diugut. Jurugambar portal ini mengadu dia ditumbuk dan diherdik dengan kata-kata "Cina babi".

Seorang lagi yang menjadi mangsa ialah kakitangan The Star.

Polis sudah menahan tiga individu untuk membantu siasatan, dan NUJ membuat laporan kepada polis di Kuala Lumpur semalam.

Kata Gopal Kishnam pihak yang didapati terlibat dalam serangan itu perlu dibawa ke muka pengadilan supaya perkara sedemikian tidak berulang lagi.

Katanya semua pihak tahu wartawan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan, sama ada BERSIH atau baju merah.

"Sekali lagi MTUC menegaskan sokongan penuh kepada NUJ dan memohon kerjasama polis serta menteri dalam negeri menyiasat insiden, memberi keadilan dan perlindungan sewajarnya kepada wartawan.

"Wartawan mempunyai hak menjalankan tugas tanpa sebarang sekatan dan ugutan," katanya.

Lihat Komen
ADS