Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ketua polis negara enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan Umno, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mempunyai kaitan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS.

Ditanya sama ada polis memiliki sebarang maklumat berkaitan dakwaan itu Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau tidak akan membuat sebarang komen mengenainya.

"Tanyalah orang yang cakap itu," katanya ringkas.

Khalid ditemui media selepas memberikan syarahan mengenai keselamatan negara di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak, Selangor hari ini

Semalam Malaysiakini melaporkan kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang mengaitkan Maria Chin dengan CIA.

Selain Maria Chin, Annuar juga mengaitkan arwah suami wanita itu, Yunus Ali, dengan agensi keselamatan AS itu melalui kerja-kerja beberapa pertubuhan bukan kerajaan pada 1980-an.

Satu daripadanya, kata Annuar, ialah National Institute for Electoral Integrity (NIEI).

Bagaimanapun laman web NIEI menyatakan institut itu mula beroperasi pada 1999 tetapi hanya didaftarkan pada 2007.

Menurut Annuar, NIEI ditaja Asia Foundation di bawah National Citizens' Movement for Free Electons (Namfrel) dan Asian Network for Free and Fair Elections (Anfrel).

Kata Annuar seorang bekas pegawai CIA, Philip Agee mendedahkan bahawa Namfrel dan Anfrel adalah "alat CIA".

Maria ditahan polis pada 18 November lalu kerana dipercayai ada kaitan dengan pertubuhan Open Societies Foundation (OSF) yang dikaitkan dengan hartawan AS, George Soros.

Pada awalnya Maria Chin disiasat mengikut Seksyon 124C Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan aktitivi mengancam demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun beliau kemudian ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang lebih dikenali sebagai Sosma yang sebelum ini digubal sebagai langkah kerajaan menangani ancaman pengganas.

Peguam Maria Chin, Datuk S Ambiga semalam mengecam kenyataan Annuar dan menganggapnya seagai keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS