Dalam menggesa pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), para peguam yang bercakap di forum Majlis Peguam semalam berkata bahawa ia bukan sahaja mengekalkan unsur-unsur dari bekas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi ia juga berpotensi disalahgunakan.

Paling tinggi dalam senarai kebimbangan yang dibangkitkan ialah mengenai kuasa tidak terbatas pihak polis untuk menahan seseorang individu tanpa bicara di bawah Sosma sehingga selama 28 hari.

Anggota Majlis Peguam, Ravi Nekoo mempersoalkan sama ada kerajaan telah mengotai janji yang dibuat ketika membentangkan rang undang-undang Sosma di Parlimen pada 16 April 2012.

Memetik petikan ucapan menteri undang-undang ketika itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen, Ravi berkata, senarai janji-janji itu termasuklah bahawa undang-undang itu tidak akan digunakan terhadap individu semata-mata kerana kepercayaan politik mereka, atau untuk menyekat hak seseorang terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun.

"Pada tahun 2012 Sosma telah digubal, (dalam) 2015 sudah berlaku satu penyalahgunaan - tiga tahun selepas itu. Adakah janji-janji itu dikotai?" katanya merujuk kepada penangkapan bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah Sosma berhubung dakwaan cubaan untuk memudaratkan demokrasi berparlimen.

Pada masa itu, Khairuddin baru sahaja pulang dari lawatan ke luar negara untuk meminta siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa asing ke atas dakwaan skandal kewangan melibatkan 1MDB.

Bagaimanapun Nazri, yang kini menteri pelancongan dan kebudayaan, dalam reaksinya kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad Khamis lepas, menafikan kerajaan telah memungkiri janji bahawa Sosma tidak akan digunakan untuk tujuan politik.

Ravi berkata kebimbangan utama ialah keputusan untuk menahan seseorang sehingga 28 hari, boleh dibuat oleh pihak polis tanpa tertakluk kepada sebarang penelitian kehakiman.

Menurutnya, peruntukan ini bagaimanapun tertakluk kepada kajian semula setiap lima tahun, dan menggesa penggubal undang-undang untuk membuat perubahan apabila ini dibangkitkan di Parlimen tahun depan.

Seorang lagi ahli panel, ketua biro undang-undang PKR, Sivarasa Rasiah, menegaskan bahawa janji-janji yang sama telah dibuat dan dimungkiri sejak 1960 apabila ISA digubal untuk menentang komunis.

Beliau mengambil contoh Operasi Lalang pada 1987, yang menurutnya, telah membawanya ke dalam kerja-kerja hak asasi manusia di Malaysia.

Katanya, beliau pulang dari England pada tahun 1986, mula menjadi peguam pada tahun 1987 "dan dalam masa beberapa bulan, kawan-kawan saya ditahan di bawah ISA.

"Penyalahgunaan sedemikian berulang dan terus berulang selama ini," kata ahli Parlimen Subang itu, sambil menambah bahawa ahli parlimen pembangkang telah menyuarakan keraguan mereka apabila Sosma mula dibahaskan di Parlimen, satu undang-undang keselamatan yang kononnya untuk menggantikan ISA yang dimansuhkan.

Sementara itu, pengerusi bersama jawatankuasa
hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo, berkata terdapat juga senarai "kesalahan teknikal" di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang polis mungkin siasat di bawah Sosma.

Kesalahan-kesalahan ini, jelas beliau, termasuk berkongsi atau menerima sebarang bahan-bahan mengenai aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.

[Baca berita penuh]