Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiba-tiba 'Rafizi Ramli' muncul di PWTC namun tidak seperti biasa naib presiden PKR itu dilihat hadir dengan pakaian lokap polis.

Orang yang bertanggungjawab membawa Rafizi tidak lain ialah Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal kemudian dilihat bertemu dengan orang ramai yang ingin bergambar dengannya sambil gambar Rafizi tetap tergantung di lehernya.

Dilihat berada di tengah kesibukan orang ramai di PWTC, Jamal meminta ahli Umno tidak lupa kepada fitnah dibuat anggota parlimen Pandan itu.

Kata Jamal yang sinonim dengan kumpulan Baju Merah, Rafizi adalah pihak yang bertanggungjawab menyebabkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kita ingin memperingatkan kembali sejarah yang dilakukan individu ini yang dikenali sebagai Rafizi.

"Apa yang saya cuba gambarkan ialah, kerana dia inilah ketua wanita Umno Malaysia terpaksa berundur jawatannya sebagai menteri," katanya.

Rafizi adalah antara tokoh yang aktif membangkitkan isu skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC). Suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail adalah pengerusi syarikat berkenaan.

Pendedahan Rafizi membawa kepada peletakan jawatan Shahrizat, bagaimanapun saman yang dikemukakan NFC di mahkamah kemudian berpihak kepada syarikat itu.

Pada 31 Oktober lalu Malaysiakini melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rafizi bersalah memfitnah NFC.

'Gembira' Jamal terus persenda

Ini adalah susulan kenyataan Rafizi bahawa syarikat itu menggunakan dana kerajaan sebagai pengaruh untuk mendapatkan pinjaman bagi lapan harta tanahnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan bagaimanapun menolak tuntutan ganti rugi Mohamad Salleh terhadap Malaysiakini kerana melaporkannya.

Kata Jamal, walaupun Rafizi sudah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman, kesannya tidak akan dilupakan "sampai bila-bila".

Menurutnya lagi fitnah dibuat Rafizi meninggalkan kesan sangat mendalam pada ahli Umno kerana sehingga hari ini masih ada yang percaya kepada pemimpin kanan PKR itu.

"Apa yang Rafizi juga telah buat adalah dia mengatakan Datin Seri Rosmah Mansor membeli cincin bernilai 24 juta.

"Tetapi apabila Rosmah cuba saman, dia kata dia hanya bergurau. Jadi, saya ingin beritahu Umno, individu ini adalah individu yang kaki fitnah," katanya.

Sementara itu dalam reaksi segeranya Rafizi berkata, beliau mengalu-alukan tindakan pemimpin Umno itu kerana akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

"Sebab Jamal menjadikan orang ramai menyampah.

"Lebih banyak dia berbuat begitu, lebih ramai orang akan mengetepikan dia," katanya.

Insiden di PWTC itu juga, kata Rafizi, membuktikan Jamal kini tidak dapat dikawal oleh sesiapa, termasuk Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, dan presiden mereka sendiri, Datuk Seri Najib Razak.

Rafizi juga mengingatkan beliau sebenarnya boleh menyaman Jamal kerana menyatakan sesuatu yang tidak tepat.

Katanya, Shahrizat menarik balik samannya terhadap Rafizi selepas ia difailkan pada 2012.

"Saman yang dikemukakan suami Shahrizat bukan berkaitan pembelilan kondominium dan kereta di Singapura.

"Ia adalah saman khusus terhadap satu transaksi pembelian lapan harta tanah di Eco City," katanya.

Namun kata Rafizi beliau tidak berniat untuk mengemukakan saman kerana mendakwa Jamal kini dikatakan tidak mempunyai wang.

Lihat Komen
ADS