Paling Popular
Terkini

Seorang pemimpin kanan PAS menyatakan kesediaannya berbincang tentang dakwaan penindasan kerajaan Kelantan dalam isu pembalakan dan bantahan Orang Asli di Gua Musang.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Dr Zuhri Marzuki memberikan tawaran itu kepada kira-kira 30 aktivis yang berkumpul di luar bangunan ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur malam tadi.

Kata Zuhdi PAS kini mengamalkan prinsip "parti menguasai kerajaan" dan sebarang rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Kelantan - yang dikuasai parti itu - beliau sedia menyampaikannya.

"Kami bersedia mendengar apa saja yang dikemukakan rakyat yang dizalimi.

"(Jika ada) boleh dikemukakan kepada kami. Kalau kami lihat betul ada kezaliman, kami akan nasihatkan kerajaan Kelantan," katanya

Bagaimanapun ketika ditanya pandangannya mengenai tindakan polis menahan lebih 40 Orang Asli yang mengadakan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di Hutan Simpan Balah, Gua Musang semalam, Zuhdi mendakwa pihaknya belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.

"Kami tidak (dimaklumkan) apa-apa oleh kerajaan Kelantan," katanya.

Walaupun begitu Zuhdi memberitahu PAS sedia menerima memornadum berkaitan sebarang rayuan atau dakwaan mengenai isu berkenaan.

Semalam Malaysiakini melaporkan seramai 47 Orang Asli yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan kelmarin direman antara dua dan tiga hari.

Majistret Mohd Faiz Omar mengeluarkan perintah reman terhadap Orang Asli berusia antara 18 sehingga 40 tahun itu bagi membantu siasatan polis.

Dalam prosiding di mahkamah majistret Gua Musang itu, seramai 17 Orang Asli ditahan reman dua hari manakala selebihnya selama tiga hari.

Permohonan reman dibuat oleh pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan Kelantan mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 iaitu kerana menceroboh dan menduduki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Kumpulan yang mengadakan protes malam tadi diketuai Anggota Jawatankuasa Pemuda Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj.

Mereka bergilir-gilir menyampaikan mesej mengenai kepentingan memelihara kawasan hutan diwartakan daripada pembalak komersial.

Kumpulan itu juga mendesak supaya semua Orang Asli yang ditahan reman dibebaskan, selain kerajaan Kelantan menyambung semula rundingan mengenai hak penduduk terbabit di kawasan hutan berkenaan.

Satu daripada pemidang yang dinaikkan di situ agak menarik perhatian. Ia memaparkan karikatur seorang lelaki berjubah memegang mesin gergaji. Mengiringi gambar itu ialah slogan "Membalak Bersama Ulamak".

Terdahulu seorang aktivis yang hanya mahu dikenali sebagai Zikri mengingatkan orang ramai mengenai dosa memusnahkan hutan serta sikap hipokrit.

"Jika orang Palestin dan Rohingya berjuang mempertahankan tanah mereka, kita boleh bersimpati.

"Tapi apabila Orang Asli (ditahan) kita tak berasa apa-apa? Bukankah ini hipokrasi?" katanya.
 

Lihat Komen
ADS