Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Adukan ke SPRM, biar penerima BR1M pun ditangkap'

Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad mengadukan penerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kenyataan dibuat bekas perdana menteri itu akhir-akhir ini semakin mengarut, terutama apabila mendakwa bantuan BR1M itu sebagai rasuah.

Menurut Ismail dengan pelbagai penjelasan diberikan kerajaan mengenai bantuan berkenaan Dr Mahathir tetap menganggap BR1M sebagai rasuah.

Justeru kata menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, lebih baik isu berkenaan diadukan secara rasmi kepada SPRM dan biarkan agensi terbabit menjalankan siasatan mereka dengan sepenuhnya.

“Kalau betul-betul (anggap) rasuah, saya harap Dr Mahathir buat laporan secara rasmi kepada SPRM bahawa penerima-penerima BR1M adalah penerima rasuah.

“Jadi apabila SPRM siasat, mereka akan tangkap semua kalau boleh.

"Rasuah itu bukan saja pemberi yang bersalah. Penerima pun salah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan hari pertama sesi baru persekolahan di Tabika Kemas Bandar Baru Salak Tinggi.

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan memberitahu rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Beliau yang kini berseteru dengan kerajaan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Ismail berkata kenyataan Dr Mahathir itu kedengaran sungguh terdesak, malah boleh diumpamakan seperti menghina penerima bantuan berkenaan.

Biar Allah tentukan

Katanya lagi semua bantuan daripada kerajaan tidak boleh dianggap rasuah kerana ia dilakukan untuk meringankan beban rakyat.

“Itu hari dia kata penerima BR1M tu rasuah… air di Selangor pun rasuah juga.

"(Sebenarnya) saya rasa BR1M adalah untuk membantu rakyat, tidak boleh dianggap sebagai rasuah," katanya.

Memberi contoh perbelanjaan yang diperlukan untuk menyekolahkan kanak-kanak di Tadika Kemas, Ismail berkata, seseorang pelajar sepatutnya dikenakan bayaran sehingga RM200.

Bagaimanapun, katanya, dengan bantuan kerajaan menanggung semua perbelanjaan berkenaan dan ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka secara percuma.

"Takkan itu pun dianggap rasuah?

“Bantuan daripada kerajaan tak boleh dianggap rasuah. Jabatan Kebajikan Masyarakat pun bagi kepada orang kurang upaya dan kepada orang tua dan sebagainya… Saya rasa kenyataan Dr Mahathir itu menghina penerima BR1M semua,” katanya.

Sementara itu Ismail turut membidas Dr Mahathir yang turut mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapat haji yang mabrur.

Kata Ismail, Dr Mahathir tidak berhak berkata demikian kerana beliau tidak ada hak menentukan amal ibadah itu akan mabrur atau tidak.

“Tiada siapa pun ada hak (nak cakap mabrur atau tidak). Bukan saja Dr Mahathir, mufti atau sesiapa pun tak boleh menentukan haji seseorang itu mabrur dan tidak.

“Itu serah kepada Allah sebab Allah yang menentukan. Ibadah kita pun.

"Sembahyang rajin, lima kali sehari pun belum menentukan pahala dan sebagainya. Dosa, pahala, syurga itu hak Allah,” katanya.

Lihat Komen
ADS