Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Setia Muhyiddin untuk sultan atau Dr M?
Diterbitkan:  Jan 17, 2017 4:31 PM
Dikemaskini: Jan 18, 2017 1:41 PM

Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyatakan secara terbuka kepada kesetiaannya ditumpahkan - sama ada Sultan Johor atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan hari ini Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, bekas Menteri Besar Johor itu perlu membuat kenyataan berkenaan kerana Sultan Ibrahim Iskandar kini murka dan mengeluarkan titah berhubung kata-kata Dr Mahathir.

"Saya ingin mencabar agar Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesetiaan beliau secara terbuka sama ada bersama Tuanku Sultan Johor ataupun untuk terus bersama Tun Dr Mahathir dan parti barunya itu.

"Beliau perlu membuat pilihan pada kali ini kerana secara jelasnya, Tuanku Sultan telah murka dan mengeluarkan titah tersinggung dengan dakwaan putar belit Tun Dr Mahathir," katanya.

Kenyataan itu dimuat naik di akaun Facebook Ab Aziz.

Semalam Sultan Ibrahim - melalui temu bual dengan The Star - menyatakan pandangannya terhadap kenyataan dibuat Dr Mahathir berkaitan pembangunan di Johor Bahru.

Dr Mahathir kini dilantik sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) manakala presiden pertubuhan berkenaan ialah Muhyiddin.

Bakar sentimen melampau

Dr Mahathir pernah menjadi presiden Umno sebelum meninggalkan parti itu kerana tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak, manakala Muhyiddin dipecat daripada jawatan berkenaan tahun lalu.

Ab Aziz yang juga anggota parlimen Sri Gading di Johor kenyataan dibuat Dr Mahathir mengenai pembangunan Forest City di Johor Bahru amat keterlaluan sehingga mengundang kemurkaan sultan.

Bagaimanapun hari ini The Star menyiarkan tulisan balas Dr Mahathir mengenai titah Sultan Ibrahim.

Kata Ab Aziz, keadaan itu sepatutnya menarik perhatian Muhyiddin sebagai anak Johor, anggota parlimen Pagoh (juga di Johor) serta pernah menjadi menteri besar di negeri itu selama sembilan tahun.

"Beliau yang kini menjadi individu paling rapat dengan Dr Mahathir seharusnya menasihati Dr Mahathir agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kontroversi dan kemarahan pelbagai pihak termasuk tuanku sultan," katanya.

Timbalan menteri pengangkutan itu turut menganggap kenyataan dibuat Dr Mahathir mengenai 700,000 warga China akan mendiami Johor Bahru dan "diberi taraf kewarganegaraan" memberi gambaran negatif kepada Sultan Ibrahim.

"Kenyataan Dr Mahathir juga seolah-olah ingin membakar sentimen perkauman melampau yang langsung tidak mempunyai tempat khususnya di kalangan rakyat negeri Johor," katanya.

Lihat Komen
ADS