Pemandu lori yang dibelasah beberapa lelaki di luar kondominium di Ampang pada 14 Januari lalu dipanggil untuk memberi kenyataan polis, kata Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS).

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah, berkata keterangan itu diambil bagi menyiasat kejadian berkenaan yang dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Turut diarah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serang itu ialah Mohd Ridzuan sendiri.

"Saya menerima panggilan (daripada polis) dua hari lalu. Kami akan memberi keterangan esok. Kedua-dua kami dan beberapa yang lain," katanya.

Mohd Ridzuan berkata keterangan itu dibuat berhubung perhimpunan dihadiri mereka bersama sekumpulan pemandu lori di Sungai Besi pada 22 Januari lalu.

Mereka berkumpul sebagai tanda bantahan terhadap nasib menerima Nasrul Faiz Zulfahmi yang dibelasah sekumpulan lelaki didakwa pengawal peribadi orang bergelar Datuk.

Sementara itu Ketua Polis Serdang, ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, mengesahkan pihaknya memanggil Mohd Ridzuan dan Nasrul Faiz untuk direkodkan keterangan mereka.

Menurut Mohd Ridzuan dia mengetuai protes itu sebagai mempertahankan hak Nasrul Faiz, 25, dan ia tidak membabitkan sebarang agenda politik.

"Kami hanya mempertahankan hak rakyat. Kami bukan berkumpul untuk menggulingkan kerajaan. Mengapa polis perlu menyoal siasat kami?

“Nasrul Faiz adalah mangsa. Ini sangat pelik tetapi sebagai rakyat yang mematuhi undang-undang, kami akan memberi kerjasama," katanya.

Dalam kejadian yang menyebabkan rakaman serangan itu menjadi tular, Nasrul Faiz mengalami pelbagai kecederaan termasuk yang memerlukannya menerima 13 jahitan di leher.

Polis sudah menahan lima orang berhubung serangan itu.

[Baca berita asal]