Terjemahan Mahkamah Persekutuan menangguhkan sehingga esok untuk mendengar rayuan Tan Sri Eric Chia untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan keterangan di Hong Kong diterima sebagai barang kes berhubung perbicaraan jenayah pecah amanah terhadap bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel itu.

Hakim Datuk Denis Ong, Datuk Abdul Aziz Mohamed and Datuk Azmel Maamor bersetuju seupaya perbicaraan yang dijadualkan pagi ini, didengar esok berikutan permohonan peguam tertuduh, Muhammad Shafee Abdullah.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Shafee supaya Chia dikecualikan daripada hadir di sepanjang perbicaraan berhubung rayuannya itu.

"Pelanggan saya berkerusi roda dan berharap pihak mahkamah dapat mengecualikan kehadirannya kerana ia hanya membabitkan satu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi," kata Muhammad Shafee.

Pada 29 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi , Datuk Abdul Hamid Embong memutuskan bahawa nota-nota di prosiding di Hong Kong yang diperolehi pihak pendakwa di Hong Kong yang berkaitan dengan kes Chia 'boleh diterima di mahkamah'.

Beliau menolak bantahan Chia bahawa keterangan tersebut gagal memenuhi para-syarat di bawah Akta Keterangan dan oleh itu, adalah satu ketidakadilan jika akta berkenaan tertakluk kepada Akta Bantuan Bersama Perkara-perkara Jenayah 2002 (Macma) undang-undang di mana rakaman keterangan itu dibuat.

Dalam penghakimannya, Abdull Hamid berkata Macma adalah undang-undang khas dan spesifik yang mengetepikan Akta Keterangan.

Sementara itu, Shafee memberitahu pemberita hari ini bahawa rayuan tersebut penting kerana ia juga akan memberi kesan kepada rayuan-rayuan lain berhubung pengumpulan keterangan saksi-saksi oleh Peguam Negara di Geneva dan Zurich, Switzerland

Beliau berkata, jika rayuan itu ditolak, maka rayuannya di atas juga tidak memberi apa-apa makna.

Perintah pembatalan

Chia telah mengemukakan permohoan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapat perintah supaya dibatalkan catatan keterangan yang dikumpulkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di mahkamah di Zurich dan Geneva di antara 8 dan 12 November 2004.

Bagaimanapun, permohonanya itu ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Raus Sharif pada 10 November tahun lalu.

Shafee juga berkata, keputusan terhadap rayuan tersebut juga akan memberi kesan terhadap cadangan pihak pendakwaraya untuk ke Jepun hujung bulan ini.

"Jika mahkamah membenarkan rayuan ini, maka kami mungkin tidak lagi perlu ke sana," katanya, sambil menambah beliau tidak pasti apa akan berlaku di Jepun kerana beliau tidak memperolehi banyak maklumat dari pihak pendakwa mengenai saksi-saksi yang akan ditemui.

Chia, 73, didakwa dengan curang meluluskan pembayaran RM76.4 juta kepada akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd di Hong Kong, bagi bantuan teknikal untuk projek "Beam and Section Mill Plant" di Gurun, sedangkan tiada bayaran seperti itu yang patut dibuat.

Secara alternatif, beliau dituduh dengan curang melupuskan dana itu dengan memeterai satu perjanjian bersama NKK Corporation dan meluluskan bayaran jumlah itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu selaku pengarah urusan Perwaja Rolling Mill dan Development Sdn Bhd di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P Ramlee di Kuala Lumpur antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.

Chia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara.