Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa pembangkang melompat dengan cadangan Ku Nan?'
Diterbitkan:  Feb 5, 2017 9:43 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii membidas pemimpin pembangkang kerana menolak cadangan agar Pulau Pinang menjadi sebahagian Wilayah Persekutuan.

Katanya, cadangan yang diutarakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor itu dibuat memandangkan pembangunan tidak seimbang di negeri itu.

"Saya terkejut apabila pemimpin pembangkang melompat apabila YB Ku Nan memberi idea Pulau Pinang sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

"Mungkin pandangan YB Ku Nan melihat kepada tekanan hidup masyarakat di sana (Pulau Pinang) yang tidak seimbang yang mana kepimpinan DAP tidak melayan rakyat Pulau Pinang pelbagai kaum dengan seimbang," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Razlan berkata, Lim Guan Eng selaku ketua menteri yang kini menghadapi tuduhan rasuah juga tidak layak mengeluarkan sebarang kenyataan ketika ini.

Katanya, sebagai kerajaan negeri, mereka seharusnya melakukan pembangunan yang mementingkan semua kaum dan lapisan masyarakat, bukan dengan meminggirkan rakyat miskin dan kaum minoriti.

"Di KL, Putrajaya dan Labuan, setiap pembangunan adalah untuk memberi kebaikan kepada semua kategori rakyat, yang miskin, sederhana dan yang kaya," katanya.

Dalam temu bual dengan stesen radio BFM pada 1 Februari lalu, Tengku Adnan berkata beliau mahu memperluaskan Wilayah Persekutuan untuk memasukkan Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan sebahagian Melaka.

Katanya, negeri-negeri berkenaan akan terletak di bawah pentadbiran Putrajaya secara langsung dan dengan pembabitan kerajaan persekutuan, negeri terbabit akan mendapat lebih peruntukan dan perhatian.

Berikutan itu cadangan Ku Nan mendapat bantahan keras pemimpin pembangkang termasuk daripada ketua menteri Pulau Pinang sendiri.

Lim Guan Eng berkata, cadangan itu adalah tipu helah dan tidak masuk akal, selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana dilihat memberi ancaman terhadap perpaduan negeri-negeri dalam persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula berkata jika benar-benar mahu membantu Melayu, negeri yang perlu dijadikan Wilayah Persekutuan bukanlah Pulau Pinang, sebaliknya Kelantan dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Razlan berkata beliau turut kesal dengan kenyataan pemimpin AMANAH, Salahuddin Ayob yang didakwanya 'bersekongkol dengan DAP'.

"Seharusnya beliau selaku pemimpin Melayu memperjuangan nasib orang Melayu di Pulau Pinang yang sedang ditindas dan dipingirkan di Pulau Pinang, sampai YB PKR menangis di dalam Dewan Undangan Negeri meminta pembangunan di kawasan Melayu," kata Razlan.

Umno negeri mahu temui Ku Nan

Sementara itu Bernama melaporkan Umno Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan Tengku Adnan dalam masa terdekat berhubung cadangan itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihaknya mahu mendengar dan meneliti terlebih dahulu pandangan serta cadangan sebenar Tengku Adnan berhubung perkara itu.

"Selepas perbincangan itu baru kami akan adakan pertemuan dengan parti komponen Barisan Nasional bagi memberi penjelasan seterusnya memaklumkan kepadamrakyat sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang hari ini.

Zainal turut menasihati rakyat Pulau Pinang agar tidak
terpengaruh dengan isu itu sehingga menimbulkan kebencian kepada kerajaan pusat kerana setakat ini ia baru cadangan serta perlu diperhalusi terlebih dahulu.

"Kalaupun ia dipersetujui oleh kerajaan Pusat, ia perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri malah keputusan itu melibatkan perlembagaan serta undang-undang negara. Bukan boleh dibuat dalam masa sehari," katanya.

Lihat Komen
ADS