SIS adakan dialog Twitter mengenai Akta 355
Sisters in Islam (SIS) akan mengadakan dua hari sesi "sembang tweet" untuk menjawab soalan mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355.
Ia akan bermula jam 10 pagi esok, melalui Twitter kumpulan itu, @SistersinIslam, di mana pengguna boleh mengutarakan soalan dengan menggunakan hashtag #betulkeRUU355, yang akan dijawab oleh aktivisnya.
Jurucakap SIS, Aliah Ali berkata, apa yang penting yang SIS ingin dicapai melalui kempen Twitter itu ialah untuk mendidik orang ramai mengenai Akta 355 dan kemungkinan kesannya ke atas rakyat Malaysia.
"Kami berhasrat untuk menjawab soalan, seperti sama ada ia akan memberi kesan kepada bukan Islam atau sama ada ia berkaitan dengan hudud," katanya kepada Malaysiakini.
SIS percaya jika Islam digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam, maka setiap rakyat mempunyai hak untuk membincangkan dan membahaskan perkara itu, katanya.
Aliah berkata SIS bimbang dengan kemungkinan bahawa pindaan akan menyebabkan lebih banyak ketidakadilan.
"Kita telah pun menyaksikan banyak kes kepolisan moral keterlaluan di Malaysia," tambahnya.
Menurutnya lagi, hukuman yang lebih tinggi yang dicadangkan itu, berrisiko menyebabkan lebih ketidakadilan dan mewujudkan imej Islam sebagai agama punatif.
Cadangan pindaan undang-undang itu telah dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun lepas. Beliau mencadangkan penetapan had baru bagi hukuman yang akan dijatuhkan oleh mahkamah syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.
Penetapan had hukuman sekarang ialah lima tahun penjara, denda RM3,000 dan enam sebatan.
Persidangan Dewan Rakyat dijangka membahaskan rang undang-undang itu pada bulan Mac.

