Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang tawar diri berucap pada siri jelajah forex BN
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 12:10 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menawarkan dirinya untuk berucap di siri jelajah Umno dan BN berhubung keputusan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kerugian perdagangan pertukaran asing (forex) Bank Negara yang berlaku sekitar tahun 1990-an.

"(Ketua Penerangan Umno) Tan Sri Annuar Musa perlu memaklumkan dalam tempoh 48 jam akan datang sama ada saya perlu menjadual semula program mulai 25 Feb ini jika mahukan saya berucap di siri jelajah Umno dan BN yang akan dilancarkan Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Annuar mengumumkan bahawa siri penerangan itu diperlukan berikutan kritikan mengenai keperluan pasukan petugas ditubuhkan sedangkan tidak bagi menyiasat 1MDB.

Annuar (kanan, bersongkok) mendakwa kehilangan wang dalam skandal forex sebenarnya tidak disiasat sebagai laporan kehilangan sebenar wang kerajaan.

"Skandal ini membabitkan dana kerajaan dan ia jelas berbeza dengan keadaan dalam 1MDB, yang guna RM1 juta dana kerajaan (dana awal 1MDB).

“1MDB juga entiti yang sudah melalui siasatan dan ia hanya sebuah syarikat," katanya.

Sesi penerangan pertama akan bermula pada Sabtu ini di Parlimen Hulu Selangor sebelum bergerak ke kawasan lain.

Minggu lalu, Lim menyahut cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman yang berkata bekas ketua pembangkang itu perlu menjadi orang pertama untuk menyokong pasukan petugas khas kerajaan.

Bagaimanapun, Lim berkata, beliau hanya akan berbuat demikian jika siasatan juga dibuat ke atas skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan 1MDB.

Selaku ketua pembangkang, Lim disifatkan begitu lantang di Dewan Rakyat dengan mengemukakan pelbagai usul termasuk mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan pada sekitar 1990-an.

Beliau sebelum ini menyelar kabinet kerana menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat perkara yang berlaku lebih dua dekad lalu tetapi melupakan skandal semasa 1MDB.

Isu kerugian kontroversi, yang berlaku hampir tiga dekad lalu ‘dihidupkan’ semula selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berusaha untuk menyatukan pembangkang dalam cubaannya untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir adalah perdana menteri apabila aktiviti Bank Negara dalam pasaran tukaran mata wang asing tidak menjadi.

Beliau menuduh Najib terpalit dengan rasuah berikutan laporan deposit bernilai berbilion ringgit berada akaun bank peribadi perdana menteri.

Najib menafikan wang itu dari 1MDB dan mendakwa dana berkenaan adalah "derma" dari ahli keluarga diraja Arab Saudi.

Najib juga menafikan melakukan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS