Guan Eng kata Rahman beri analogi salah
Lim Guan Eng berkata, Datuk Abdul Rahman Dahlan menggunakan "analogi salah" untuk menjelaskan mengenai tindakan Pulau Pinang memberikan tempoh lanjutan kepada kontrak pembangunan di negeri itu.
Menurut ketua menteri Pulau Pinang itu, hujah Abdul Rahman ialah, mengapa beliau tidak boleh memberikan tempoh lanjutan kepada pemaju ketika langkah sama dibenarkan kepada agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC).
“Ini analogi yang salah. Jika seseorang ahli keluarga melakukan kesalahan, tidak bermakna orang lain juga membuat salah," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mendakwa Abdul Rahman sebagai "menteri pemaju perumahan", Lim berkata PDC memberikan tempoh lanjutan kerana ia berada dalam bidang kuasa agensi terbabit dan menjadi sebahagian daripada kontrak.
Katanya, kebenaran itu diberikan hanya selepas kontraktor dan PDC mengadakan perbincangan mengenainya.
“Malah Ketua Audit Negara memberikan kebenaran kepada PDC meluluskan tempoh lanjutan itu selepas mendengar dan menerima penjelasan mengenainya," kata Lim yang juga pengerusi PDC.
Lim menjawab siri tweet Abdul Rahman pada Sabtu lalu yang melampirkan salinan satu halaman Laporan Ketua Audit Negara 2015, menunjukkan Pulau Pinang memberi kebenaran tempoh lanjutan kepada pemaju bagi lima projek berasinngan.
Abdul Rahman yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri bertindak demikian selepas laporan dibuat ke atasnya berhubung tindakan beliau memberi tempoh lanjutan 12 bulan kepada BHL Construction Sdn Bhd selepas pemaju itu gagal menyiapkan projek pembinaan kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Kebenaran itu diberi Abdul Rahman pada November 2015, ketika beliau berkhidmat sebagai menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy dan Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, adalah antara pemimpin DAP yang mendakwa Abdul Rahmah "menyalahgunakan kuasa" kerana memberi tempoh lanjutan berkenaan.
Bagaimanapun Abdul Rahman menafikan tuduhan berkenaan.
"Keputusan saya ambil adalah berdasarkan kuasa yang jelas diberikan kepada menteri KPKT seperti yang dinyatakan di bawah Akta 118 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966,” katanya.

