Rahman Dahlan: DAP mungkin langgar Akta SPRM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan akan mengkaji tindakan DAP merujuknya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melihat kemungkinan ada pelanggaran undang-undang berlaku.
“Saya akan melihat kepada Seksyen 29(4) Akta SPRM apabila seorang pemimpin DAP membuat sidang media mengenai laporan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian selepas dua pemimpin pemuda DAP mengemukakan laporan kepada SPRM mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa.
Menyambut baik laporan ke atasnya, Abdul Rahman berkata, beliau memberikan komitmen untuk bekerjasama penuh dengan agensi antirasuah berkenaan.
"Apa pun, adalah jelas laporan itu bersifat pollitik tetapi saya memberi jaminan kepada semua, saya akan memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM," katanya.
Seksyen 29(4) Akta SPRM menyatakan sesuatu laporan mesti dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak selain pegawai agensi terbabit atau timbalan pendakwa raya sehinggalah tertuduh didakwa di mahkamah.
Nafi tuduhan salah guna
Pendedahan hanya boleh dibuat dengan kebenaran timbalan pendakwa raya atau pegawai SPRM yang berpangkat sekurang-kurangnya pesuruhjaya.
Pada Februari lalu Abdul Rahman menggesa SPRM melaksanakan seksyen berkenaan "bagi melindungi integriti seseorang yang dituduh".
Bernama melaporkan bekas menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, undang-undang terbabit membolehkan sesuatu aduan kepada SPRM tidak sampai kepada media.
Mengenai pihak tertentu yang menghubungi media apabila mahu membuat aduan kepada SPRM, Abdul Rahman berkata, pendedahan nama serta dakwaan kesalahan yang dilakukan mereka boleh menjejaskan tertuduh sebelum dia didakwa di mahkamah.
Sementara itu dua pemimpin DAP semalam mendesak SPRM menyiasat Abdul Rahman yang didakwa mereka menyalahgunakan kuasa ketika berada pada portfolio terdahulu.
Abdul Rahman didakwa memberikan tempoh lanjutan kepada sebuah pemaju yang terlewat menyiapkan projek kondominium mewah di Kuala Lumpur pada 2015.
Mereka turut menggesa SPRM menyiasat Puan Sri Faridah Begum KA Abdul Kader yang dituduh membuat permohonan berkenaan bagi pihak pemaju, BHL Construction Sdn Bhd.
Ia berlaku beberapa bulas selepas suaminya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai peguam negara.
Bagaimanapun Abdul Rahman menafikan dakwaan berkenaan, dan menegaskan tindakan beliau dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

