Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sesebuah negara merdeka boleh menyatakan kenyataan atas sesuatu yang berlaku pada negara lain, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Katanya, Malaysia sendiri pernah membuat kenyataan atas kezaliman yang berlaku di negara luar.

Memberikan contoh isu Palestin dan selatan Thai, Azmin berkata, Malaysia sebagai negara merdeka telah memainkan peranan begitu di peringkat antarabangsa.

"Itu perkara biasa atas prinsip yang cukup jelas agar tiada kezaliman berlaku di mana-mana negara

"Itu peranan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka," katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Menteri besar Selangor itu diminta mengulas kecaman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyelar pihak meminta bantuan AS untuk mengubah politik Malaysia.

Berucap di Rusila, Terengganu, Abdul Hadi berkata tidak ada sebab mengapa PAS tidak boleh berunding dengan Umno kerana ada parti lain cuba mendapatkan bantuan dari AS.

"Kita boleh berunding dengan Umno, berunding dengan siapa sahaja untuk melaksanakan Islam, sedangkan dia dengan Amerika pun berunding, dengan negara asing pun dia berunding, dengan kedutaan asing pun dia berunding.

"(Mereka) berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia.

"Kita tak sampai tangga (ke tahap) itu, nak suruh negara asing campur tangan negara kita," katanya.

Gembleng tenaga bantu rakyat

Untuk rekod, selain DAP, PKR juga pernah menyerahkan memorandum meminta lima anggota tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantuan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara.

Memorandum 38 pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik itu diserahkan kepada wakil Duta AS di Kuala Lumpur Februari 2016.

Memorandum itu menekankan pembebasan Anwar wajar berdasarkan kepada aspek hak kemanusiaan.

Kata Azmin, atas sifat kemanusian, mana-mana negara boleh menzahirkan kenyataan tentag sesuatu perkara yang berlaku.

Sementara itu mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa DAP adalah "anak butir tahi PAP" Azmin menyeru semua parti pembangkang tidak membuat kenyataan memburuk-burukkan sesama sendiri.

"Saya seru semua pihak untuk tidak bersaing membuat kenyataan yang tidak baik antara satu sama lain.

"Sebaliknya gemblengkan segala tenaga kita untuk membantu rakyat dan selamatkan negara," katanya.

Azmin sebelum itu menghadiri perasmian Hari Tanpa Kenderaan dan Hari Bumi di Seksyen 14 Shah Alam.

Lihat Komen
ADS