Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peneroka Felda dapat duit raya, kecuali...
Diterbitkan:  Jun 10, 2017 9:29 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Berita baik - dan buruk - buat peneroka Felda dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kulai, Johor hari ini.

Menjelang hari raya beliau mengumumkan Felda memperuntukkan insentif sebanyak RM47.2 juta untuk diagih-agihkan kepada setiap keluarga peneroka dengan kadar RM500 seorang.

Ditambah dengan dividen syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berjumlah RM26.4 juta - atau RM280 setiap peneroka - mereka boleh berhari raya dengan tambahan belanja sebanyak RM730.

Namun tidak semua peneroka bakal menikmati insentif berkenaan.

"(Pihak) yang tidak berurusan dengan Felda, yang menyaman Felda - minta maaflah, (mereka) tak termasuk dalam senarai," katanya semasa berucap di Felda Sungai Sayong di Kulai, Johor hari ini.

Untuk rekod, kawasan tanah rancangan Felda sejak sekian lama menjadi kubu kuat BN dalam setiap pilihan raya dan memang sukar ditembusi pembangkang.

Bagaimanapun kemunculan pertubuhan serpihan Umno - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - memungkinkan dominasi BN itu boleh dilemahkan.

Malahan analisis mencadangkan ada beberapa tokoh utama BN - termasuk berstatus menteri - terancam kedudukan mereka jika peneroka berubah selera pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

BERSATU kini menjadi sebahagian daripada komponen Pakatan Rakyat yang sedang giat membuat persediaan menghadapi PRU ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Kata Najib, untuk kakitangan Felda kerajaan juga tidak melupakan mereka.

Buat mereka, perdana menteri mengumumkan insentif khas bernilai antara lima hingga 30 peratus daripada gaji pokok kakitangan terbabit.

Pemberian itu, katanya, adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap petugas di barisan hadapan agensi berkenaan.

Tidak ketinggalan, Najib mengumumkan sumbangan penghargaan bernilai RM500 kepada imam masjid, RM400 untuk pengerusi masjid, RM300 untuk bilal dan RM200 untuk siak.

Pemberian itu, katanya, membabitkan peruntukan berjumlah RM674,400.

Pada majlis sama Najib turut menyentuh mengenai kemelut melanda FGV ketika ini.

Lihat Komen
ADS