Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong terus menjadi sasaran cemuhan adik-beradinya berhubung dakwaan rancangannya ke atas rumah peninggalan bapa mereka, Lee Kuan Yew.
Wei Ling, adik bungsu perempuan Hsien Loong, menulis di Facebook hari ini bahawa nasib rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road itu bukan setakat pergaduhan keluarga semata-mata.
"Jika ia adalah semata-mata urusan keluarga, kami idak akan mendedahkannya kepada umum.
"Mesej utama ialah bukan Hsien Yang dan saya takut apa yang PM akan lakukan kepada kami," katanya.
Perkara yang paling penting yang dia mahu ketengahkan, tegasnya, ialah jika PM boleh menyalahgunakan kuasa rasminya terhadap adik-beradiknya yang boleh melawan balik, "apatah lagi yang dia boleh lakukan kepada rakyat biasa".
Dalam tulisan di Facebook dari Scotland, Wei Ling juga mendedahkan maklumat lanjut mengenai pertikaian antara abangnya Hsien Yang dan Hsien Loong, yang kini PM.
Wei Ling berkata Hsien Loong telah melanggar kehendak ayahnya apabila dia menetapkan sebagai syarat menjual rumah itu kepada Hsien Yang, dia mesti menderma 50 peratus daripada nilai rumah itu kepada badan amal.
"Ayah saya telah memberitahu kami, anak-anaknya, berulang kali, bahawa sebagai harta keluarga, tidak ada keperluan untuk menderma kepada badan amal jika Oxley dijual," katanya.
Beliau berkata ia adalah "percubaan Hsien Loong untuk menghukum Hsien Yang kerana menghalang apa yang dia mahu lakukan dengan rumah itu."
"Hsien Loong dan (isterinya) Ho Ching akhirnya memperlihatkan siapa mereka sebenarnya. Saya rasa ia menunjukkan mereka tidak sesuai sebagai PM dan pastinya sebagai isteri PM Singapura."
Dalam surat enam halaman yang disiarkan semalam, Wei Ling dan Hsien Yang berkata abang mereka itu mahu mengekalkan rumah itu walaupun hasrat bapa mereka untuk merobohkannya disebabkan Hsien Loong mahu menggunakannya untuk mengukuhkan kedudukannya.
Adik-beradik itu juga menuduh Hsien Loong cuba untuk meningkatkan masa depan politik anaknya.
"Kuasa politik beliau adalah berkaitan sebagai anak Kuan Yew dan dengan itu beliau mempunyai insentif untuk mengekalkan rumah Kuan Yew bagi mewarisi kredibilitinya."
PM telah berkata beliau sedih dengan tuduhan itu dan bahawa ia adalah tidak benar.
Wei Ling dan Hsien Yang adalah pemegang amanah bersama rumah itu. Menurut wasiat Kuan Yew, rumah itu akan dirobohkan selepas Wei Ling tidak lagi menetap di sana.
Sementara itu, Hsien Yang hari ini menggesa pengguna Facebook untuk membandingkan kenyataan bercanggah yang dibuat oleh Hsien Loong berkaitan dengan rumah di Oxley Road.
