Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini buat pertama kali diajukan soalan mengenai pemfailan ketiga saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, Khamis lalu berhubung dakwaan dana AS$540 juta diselewengkan daripada 1MDB.

Beliau ditanya diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyelar DOJ berhubung saman terbaru mengenai 1MDB itu.

Najib bagaimanapun, enggan mengulas lanjut dan sekadar berkata sudah banyak kenyataan yang dibuat pelbagai pihak, termasuk oleh pejabatnya sendiri.

"Siapa yang nak saman? Tiada lagi kenyataan (tentang DOJ)," kata Najib sambil tersenyum. [VIDEO]

"Sudah (ada) banyak kenyataan, tak payah. Saya (pun) sudah keluarkan kenyataan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya, hari ini.

Selang beberapa jam selepas dokumen itu dikeluarkan, setiausaha akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad menyelar dokumen itu kerana menamakan “beberapa perkara dan individu”, yang menurutnya “tidak perlu”.

Menurutnya, tindakan DOJ itu menunjukkan wujud motif melangkaui matlamat untuk sekadar merampas aset, sedangkan siasatan pihak berkuasa Malaysia sebelum ini menunjukkan tiada unsur jenayah dalam 1MDB.

Dalam pemfailan DOJ sejak tahun lalu, nama Najib tidak disebut secara langsung, tetapi pihak penyiasat AS merujuk kepada seorang individu sebagai "Malaysian Official 1" yang dikatakan mempunyai pertalian dengan Riza Aziz iaitu anak tirinya yang turut dinamakan.

Namun, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tahun lalu mengesahkan bahawa MO1 adalah sememangnya adalah Najib.

Pemfailan DOJ pada Khamis lalu, selain menyebut nama ahli perniagaan Pulau Pinang, Jho Low dan Riza, turut merujuk kepada isteri "MO1".

Beliau dikatakan menerima berlian bernilai AS$ 22 juta daripada Low, yang didakwa membelinya menggunakan dana yang diselewengkan.

Selain barangan kemas itu, antara senarai barangan yang cuba disita oleh DOJ, termasuk kapal layar, barangan kemas, berlian, rangkaian pusat kecergasan dan karya seni.

Najib berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menggulingkannya.

Sabtu lalu, peguam Rosmah mengeluarkan amaran kepada pengguna media sosial bahawa mereka akan disaman jika memfitnah isteri perdana menteri itu.

Namun sehingga hari, jurucakap kedutaan AS mengesahkan, pihaknya tidak menerima sebarang notis bantahan daripada kerajaan berhubung saman DOJ itu.

 

Lihat Komen
ADS