Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puluhan ribu akan sertai demo 'anti kleptokrasi' 14 Okt

Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengumumkan untuk mengadakan satu himpunan raksasa pada 14 Oktober depan.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, himpunan yang diberi nama 'Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' itu akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.

Sebelum ini, ahli parlimen DAP Tony Pua berkata himpunan itu diharap mampu memberi orang ramai kefahaman mengenai isu 1MDB.

"Kita akan lancar kempen berkenaan 'Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' dan kita akan adakan satu himpunan raksasa pada 14 Oktober.

"Bertempat di Padang Timur," kata Mahathir pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai jangkaan kehadiran pada himpunan berkenaan, Mahathir berkata: "Puluhan ribu".

Himpunan berkenaan adalah susualan reaksi terhadap saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan isu 1MDB.

Malah, Malaysiakini sebelum ini melaporkan, himpunan berkenaan itu juga sebagai langkah untuk mendekati rakyat dengan isu 1MDB.

Perhimpunan itu akan dihadiri oleh PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Parti Warisan Sabah yang diketuai bekas naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menyokong himpunan tersebut.

Bagaimanapun, kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH masih belum memutuskan sama ada akan menyertai himpunan anti-kleptokrasi berkenaan manakala PAS pula mendakwa mereka belum menerima sebarang jemputan berhubung perhimpunan itu.

 

Lihat Komen
ADS