Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan ulang tahun kelahiran ketua umum PKR itu yang ke-70 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi, beliau disambut sekumpulan 30 penyokong yang berkumpul untuk menyanyikan lagu selamat hari jadi.

Mereka membawa sepanduk besar dengan imej Anwar dan ucapan selamat hari jadi, beserta mesej: "Awak tetap relevan dalam perjuangan ini".

Sepanduk itu ditandatangani beberapa NGO pro-Anwar seperti Jingga 13, Kelab Anwar Ibrahim, Pro-Reformis 98 dan #Bebas Anwar.

Anwar muncul sebagai saksi dalam pendengaran kes saman fitnah anaknya, Nurul Izzah terhadap menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sekitar jam 10.30 pagi, Anwar yang dikawal ketat masuk ke bilik mahkamah dan sekali lagi menerima ucapan selamat hari jadi oleh penyokong yang kemudian menyanyikan lagu "Allah Selamatkan Kamu".

Tampil dengan penuh bersemangat hari ini, Anwar turut berpeluang berbual dengan para penyokongnya, termasuk Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

"Lepas 40 tahun tak sambut (hari jadi) lagi dah," katanya berjenaka dengan mereka di mahkamah sambil diawasi sekumpulan pegawai penjara.

"Saya tak akan beritahu kamu usia saya kerana banyak gadis muda di sini," katanya lagi kepada penyokong yang kemudian menjawab usia sebenarnya sudah pun diketahui umum.

Seorang penyokong lain kemudian berkata, Anwar akan tetap berusia 40 tahun sehingga pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Manakala seorang lagi kelihatan cukup teruja apabila dapat berjabat tangan dengan bekas ketua pembangkang itu.

"Dapat salam jangan basuh tangan sebulan!" laung seorang penyokong lain ketika dia keluar dari bilik mahkamah.

Ramai menunggu lama semata-mata untuk melihat Anwar dan ada yang meninggalkan mahkamah sejurus prosiding mahkamah bermula.

Apabila mahkamah berehat sebentar, penyokongnya mengeluarkan kek hari jadi untuk diserahkan kepada Anwar.

Antara yang hadir termasuk presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anggota parlimen PKR Tian Chua, Abdullah Sani Abdul Hamid dan Chang Lih Kang, serta aktivis Pro-Reformasi, Ronnie Liu dan Dr Badrulamin Bahron.

Lihat Komen
ADS