Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penggodam titip pesan: Benderaku bukan mainan
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 9:05 AM
Dikemaskini: 1:43 AM

Penggodam Indonesia dipercayai menyerang lebih 30 laman sesawawang Malaysia semalam kesan kemarahan mereka terhadap paparan terbalik bendera negara itu pada buku cenderahati Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Sekumpulan penggodam menggelar diri mereka sebagai ExtremeCrew mendakwa bertanggungjawab atas serangan semalam, lapor agensi berita AFP hari ini.

Kumpulan terbabit dikatakan memuat naik imej bendera terbalik yang dicetak dalam buku cenderahati berkenaan bersama mesej: "Bendera negaraku bukanlah mainan!" pada 33 laman sesawang Malaysia.

Turut dimuatkan bersama mesej itu adalah lagu Tanah Air Beta sebagai latar belakang.

Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat serangan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyverSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

"Insiden itu memang berlaku dan kami sedang menyiasatnya, memantau dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi mengekang kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu polis Indonesia berkata tidak jelas sama ada dalang yang melakukan penggodaman itu rakyat Indonesia atau tidak.

"Jika mereka (Malaysia) perlukan bantuan, sudah tentu kami sedia membantu tetapi masih belum dipastikan penggodam itu memang orang Indonesia," kata jurucakap polis Indonesia Martinus Sitompul.

Bendera Sang Saka Merah Putih menggabungkan jalur merah dan putih mula digunakan sejak Ogos 1945.

Bagaimanapun imej bendera kebangsaan Indonesia itu dipaparkan secara terbalik bersama bendera lain dalam buku yang diterbitkan sempena KL2017 - suatu temasya sukan serantau yang diadakan setiap dua tahun.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Wisma Putra sudah mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Indonesia ekoran kesilapan berkenaan.

Polis juga sedang menjalankan siasatan untuk memastikan sama ada insiden itu melibatkan sabotaj atau kesilapan yang tidak disengajakan.

Semalam satu protes aman diadakan di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta oleh kira-kira 50 anggota sebuah pertubuhan dikenali sebagai Laskar Merah Putih.

Pada masa sama Presiden Joko Widodo meminta isu berkenaan tidak diperbesar-besarkan walaupun ia memang dikesali.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS