Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pimpinan, ahli PKR tunjuk sokongan pada MP Selayang
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 8:26 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Belum genap 24 jam berita peletakan jawatan William Leong disiarkan, sudah ada beberapa sepanduk dinaikkan di sekitar Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Setakat jam 3 pagi tadi sepanduk itu kelihatan di sekurang-kurangnya tiga lokasi iaitu Segambut, Batu dan Wangsa Maju.

Dianggarkan ada hampir 10 sepanduk dinaikkan pada awal pagi ini saja.

Untuk rekod, Batu adalah salah satu kawasan dianggap selamat buat PKR selepas wakilnya Tian Chua memenangi kawasan itu selama dua penggal berturut-turut.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan kem Leong mendakwa Tian bukanlah salah seorang tokoh yang menyokong anggota parlimen Selayang itu.

Sumber lain memberitahu sebahagian anggota PKR memang tidak berpuas hati dengan sikap sesetengah pemimpin parti terbabit yang dianggap nampak terdesak untuk berunding dengan PAS.

Sikap berlembut dan terus memujuk PAS menjadi alasan Leong meletakkan jawatannya dalam Biro Politik PKR semalam.

Malaysiakini melaporkan Leong melepaskan jawatan badan penting itu sebagai tanda protesnya kepada sikap sesetengah pemimpin parti yang masih berharap agar dapat memujuk PAS.

Leong, 60, juga mengumumkan hasratnya untuk tidak bertanding semula mempertahankan kerusi Selayang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pernah diberi amanah sebagai bendahari, Leong merampas kerusi Selayang daripada BN pada PRU ke-12 dengan mengalahkan calon MCA dan Bebas dengan majoriti 3,567 undi.

Pada PRU ke-13 peguam itu mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti yang lebih meyakinkan iaitu 17,846 undi.

Kata sumber, langkah meletakkan jawatan itu dibuat kerana kedudukan biro politik yang dikuasai oleh kumpulan yang cenderung untuk berbaik-baik dengan PAS.

Antara isu yang menyebabkan mereka tidak berpuas hati ialah kegagalan pimpinan PKR Kelantan mematuhi arahan badan itu untuk anggota yang mendapat lantikan politik daripada PAS supaya meletakkan jawatan.

Bagaimanapun usaha penyokong Leong untuk menyatakan protes itu secara lebih kuat mungkin terhalang kerana sebahagian besar pemimpin cabang PKR di Wilayah Persekutuan tidak memihak kepada kumpulan yang enggan berkompromi dengan PAS.

Malah kata sumber. ada ketua cabang menyarankan Leong keluar terus dari PKR.

"Masalahnya ialah PKR perlu dilihat berprinsip, bukannya berubah-ubah pendirian.

"Ketika kebanyakan ahli dan penyokong berpendapat PKR perlu menumpukan perhatian penuh kepada Pakatan Harapan, tindakan terus berunding dan berlembut dengan PAS menjejaskan imej parti," katanya.

Lihat Komen
ADS