Wan Azizah: PAS hilang sokongan jika tanding tiga penjuru
PKR menjangkakan PAS Selangor akan kehilangan sokongan jika meneruskan cadangan bertanding di 42 kerusi dewan undangan negeri (DUN).
“Jika pendirian mereka dilihat cenderung menyokong Umno, mereka bukan saja akan kehilangan sokongan di kawasan pengundi campur tapi juga di kerusi majoriti Melayu,” kata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah yang ditemui wartawan selepas forum berkaitan pelaburan China di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLSCAH) malam tadi merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya PAS Sallehen Mukhyi yang menyatakan kesediaan PAS bertanding tiga penjuru menentang Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN dalam pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun jumlah sebenar calon yang akan diletakkan oleh PAS akan ditentukan oleh jawatan kuasa pusat parti itu.
Ketika ditanya tentang kesediaan PAS bertanding di kerusi Gombak, selain di DUN Kajang, Wan Azizah mempersoal pendirian sebenar PAS sama ada menyokong atau menentang HARAPAN.
“Mereka (PAS) seperti tidak serius mahu jatuhkan BN,” katanya.
Parlimen Gombak ketika ini dipegang oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.
Anggota DUN Kajang itu berkata, pembangkang memerlukan semua sokongan yang ada untuk menjatuhkan BN dan sebarang usaha memecah undi akan memberi kemenangan kepada BN.
Pada pilihan raya 2013, PAS meletakkan 21 calon di Selangor dan menang 15 kerusi dari 56 kerusi DUN negeri itu.
Dalam perkembangan sama, Wan Azizah turut ditanya tentang laporan mengenai memorandum anggota akar umbi yang mendesak pengunduran pengerusi PKR Kelantan.
“Ketika ini, kita perlu fokus untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang. Saya sudah bertanya kepada mereka (anggota PKR Kelantan) dan majoriti menyokong pimpinan sedia ada. Jadi kita perlu teruskan.
“(Namun) Kita mendengar mereka (yang tidak bersetuju dengan pimpinan PKR Kelantan) dan minta orang berkaitan membuat penambahbaikan,” katanya.

