Perbalahan pendapat mengenai sama ada rundingan harus diteruskan dengan PAS dibawa ke Facebook, dengan seorang ADUN DAP hari ini "tidak berkawan" lagi dengan dua ahli parlimen PKR.
Dalam satu posting, ADUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow berkata beliau "tidak berkawan dengan pemimpin talam dua muka".
"Pakatan (Harapan) sedang bergerakke hadapan," katanya merujuk kepada gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, AMANAH dan BERSATU.
Ong, malah memuat-naik paparan yang mengesahkan tindakannya "tidak berkawan” di halaman Facebooknya dengan Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Md Akin.
Ketika dihubungi kemudian, Ong berkata tindakan "kecil" itu sebagai solidariti dengan pihak PKR yang membantah perbincangan dengan PAS diteruskan.
Menjawab soalan, Ong berkata, beliau tidak bimbang tentang tindakannya yang dilihat sebagai kebudak-budakan atau bakal mengundang bidasan.
"Ini hanya dalam akaun peribadi saya dan saya tidak meminta orang lain untuk mengikut saya ...
"Sekiranya saya menulis (artikel) mengenainya, ada yang mungkin mengatakan saya cuba campur tangan hal dalaman parti itu," katanya kepada Malaysiakini.
Oleh itu, Ong berkata, sekurang-kurangnya yang boleh dilakukannya ialah untuk mengeluarkan pemimpin PKR yang dilihat sebagai menyokong keperluan untuk berunding dengan PAS daripada senarai kawan di Facebook.