Paling Popular
Terkini

Sekali lagi PAS 'menembak' PKR.

Kurang dari 24 jam selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS, parti terbabit hari ini membalas dengan lebih tegas.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menegaskan parti itu memang sudah lama membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama politik dengan HARAPAN atau BN.

"PAS hanya akan memperkasakan Gagasan Sejahtera untuk menghadapi BN dan HARAPAN pada pilihan raya umum ke-14," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Isu kerjasama PAS dan PKR, kata Khairuddin, timbul selepas PKR dilihat cuba menagih kerjasama dengan PAS.

Keadaan itu katanya merisaukan parti lain dalam HARAPAN.

"Ada pun PAS daripada awal tidak berminat kerana PAS ada agenda dan strategi tersendiri untuk memenangi PRU14," katanya.

Isu kerjasama itu timbul baru-baru ini selepas Datuk Seri Azmin Ali mengesahkan ada perbincangan tidak rasmi antara partinya dengan PAS.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata ia adalah inisiatif bersama parti itu untuk melihat BN dapat dikalahkan.

Bagaimanapun ternyata langkah itu bukan saja tidak diterima penyokong HARAPAN, malah tidak dipersetujui sebahagian anggota PKR sendiri.

Khairuddin juga menegaskan PAS tidak membuka pintu untuk rundingan kerjasama politik walaupun ia dibuat atas nama individu selagi ia membawa imej HARAPAN.

Bukan rakan setia

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pula mencadangkan kata muktamad mengenai sikap parti itu terhadap PAS diputuskan melalui kongkres khas.

Cadangan itu dibuat secara terbuka selepas usaha menggunakan biro politik PKR diyakini tidak berjaya kerana sebahagian besar badan itu dianggotai penyokong Azmin.

Malaysiakini semalam menyiarkan laporan rasa tidak puas hati itu juga tercetus apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dianggap lambat bertindak untuk mengekang perkembangan itu.

Malamnya Majlis Presiden HARAPAN bermesyuarat dan memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan membuat persediaan wajar menghadapi kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan parlimen dan dewan undangan negeri.

Untuk rekod, Azmin tidak hadir pada mesyuarat yang berlanjutan sehingga awal pagi tadi itu.

Kata Khairuddin, parti dalam HARAPAN bukanlah rakan politik yang setia.

"Mereka menikam di depan dan belakang ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dulu.

"Agenda Islam yang telah dipersetujui sebagai agenda PAS, diserang.

"Mereka bekerja keras menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan. Mana mungkin PAS bekerjasama dengan parti-parti sebegini," katanya merujuk kepada dua parti yang menjadi seteru utama mereka sekarang, DAP serta Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen
ADS