Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menyatakan keyakinan beliau bahawa pembangkang boleh mencatat kejayaan besar di Sabah dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Kata Tun Dr Mahathir Mohamad, sasaran itu boleh dicapai dengan sokongan sebuah parti tempatan.
Bercakap dalam sesi dialog di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, beliau berkata HARAPAN tidak bercadang untuk mendominasi politik setempat sama ada di Sabah atau Sarawak.
Sebaliknya kata Dr Mahathir HARAPAN cenderung untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan di setiap negeri terbabit.
"Di Sabah kita ada sebuah parti yang sangat menyokong kami.
"Buat masa ini saya fikir kita boleh memenangi separuh daripada kerusi parlimen di Sabah," katanya lagi.
Pendirian untuk memulakan kerjasama antara HARAPAN dengan parti setempat itu, kata Dr Mahathir, dibuat berdasarkan kefahaman bahawa Sabah dan Sarawak pernah menyatakan rasa tidak senang mereka dengan dominasi parti dari semenanjung.
Walaupun bekas perdana menteri itu tidak menamakan parti terbabit, dipercayai HARAPAN sedang berunding dengan Parti Warisan Sabah yang diasaskan bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mengenai isu autonomi yang akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir berkata rundingan mengenainya bolah diadakan supaya kedua-dua negeri terbabit mempunyai lebih banyak kuasa dalam pentadbiran.
Antara lain, katanya, rundingan boleh dibuat berdasarkan persetujuan dicapai oleh Sabah dan Sarawak semasa Malaysia ditubuhkan pada 1963.
"Bagaimanapun untuk autonomi penuh, saya fikir ia tidak akan diterima sebahagian besar orang Sabah dan Sarawak.
"Mereka tidak mahukan autonomi penuh, mereka mahu lebih banyak kuasa ke atas negeri berkenaan," katanya.
