Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pedagang forex BNM berdagang berbilion dolar sehari

Seorang bekas pedagang forex dengan Bank Negara mendakwa dia telah berurus niaga berbilion ringgit sehari di bawah arahan ketua pedagang ketika itu, bekas penasihat Bank Negara ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dan seorang lagi ketua pedagang.

Azman Mat Ali, yang merupakan pedagang forex Bank Negara dari tahun 1988 hingga 1998, yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditugaskan untuk menyiasat kerugian dalam perdagangan forex bank pusat itu hari ini, berkata beliau tidak ingat jumlah urus niaga tertinggi yang telah dilaksanakannya.

Tetapi, katanya, jumlah itu boleh mencecah beberapa bilion dolar AS sehari.

Azman menegaskan bahawa dia tidak berani melakukan sebarang transaksi forex tanpa arahan sama ada dari ketua pedagang atau Nor Mohamed.

Semuanya dilaksanakan berdasarkan arahan dari ketua pedagang atau Nor Mohamed sahaja, katanya.

Dalam kenyataan saksinya, Azman berkata ketua pedagang ialah ialah Lim Tam Mee dari sejak dia berdagang dalam forex sehingga 1989, Selvaraj dari 1989 hingga 1990 dan Chua Tiong Chin dari tahun 1990 hingga 1994 atau 1995.

Azman dan anggota RCI itu, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said kemudiannya bertegang urat selepas beliau meminta Azman memberikan anggaran yang lebih tepat.

Azman menjawab, ia memang dalam lingkungan berbilion tetapi jika diminta menganggarkannya, katanya, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana tidak adil untuknya untuk memberi angka begitu sahaja.

Kamaludin bagaimanapun berkata ia lebih tidak adil sekiranya Azman tidak dapat memberikan satu anggaran.

"Sebelum ini, (bekas peniaga forex) Fizaman (Noor Mohammed Nasir) berkata dia berurus niaga sehingga RM800 juta sehari!" tegas Kamaludin.

Untuk itu, Azman berkata: "Betul. Dia mempunyai ingatan yang lebih baik.

"(Tetapi) saya ingat dalam berbilion-bilion, berapa banyak, saya tidak boleh ingat. Nanti saya bagi anggaran yang salah."

Azman kemudian bersetuju dengan Kamaludin bahawa perdagangan yang dilakukannya pasti "lebih daripada AS$1 bilion".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS