Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Berdepan dengan persepsi bahawa pemimpin PKR sedang berbalah, timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan semua mereka agar tidak meluahkan sebarang perbezaan pendapat di khalayak umum.

“Saya nak ingatkan semua pimpinan supaya tidak bercakaran dalam public domain, apatah lagi media yang tidak mesra dengan pembangkang, tetapi semua pemimpin mesti fokus bagaimana kita hendak memperkukuhkan muafakat ini bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kepentingan negara adalah lebih penting daripada perselisihan pendapat dan pandangan, ayuh kita selamatkan negara.

“Jadi saya tidak ada sebarang komen tentang perkara-perkara yang melibatkan parti kerana saya yakin presiden parti dan parti boleh menguruskan perkara ini secara dalaman dan bukan dalam public domain,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa 2017 di Setia Alam hari ini.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Majlis Tertinggi PKR Latheefa Koya yang membidas Rafizi Ramli atas apa yang didakwanya sebagai 'tanggapan' naib presiden PKR itu bahawa bekas pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan terlibat dalam penyingkiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Latheefa mendakwa 'arkitek Langkah Kajang' itu kini cuba menyalahkan orang seperti Ambiga, yang menentang langkah tersebut.

Azmin yang juga adalah menteri besar Selangor juga disoal berhubung kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi yang menjemput PKR menyertai Gagasan Sejahtera jika ingin bekerjasama dengan parti itu.

“Semua perkara berkaitan parti akan dibincang dalam parti dan bukan dalam media .

“Saya hanya akan terus bersabar dan tabah sebab bila kita sabar dan tabah Allah akan berikan kemenangan kepada kita.

Perbezaan memang ada. Saya selalu sebut. (Bekas Presen Amerika Syarikat, Barrack) Obama pun ada sebut. Democracy is a noisy process. Bising!

“Media kacau, media putar belit, media spin. Ini sebahagian daripada proses demokrasi. Saya terpakasa menerimanya. Sebagai pemimpin, kita mesti uruskan secara bertanggungjawab. Buat secara dalaman. Jangan bising-bising di luar,” katanya.

Beliau juga menambah, bahawa rakyat tidak suka melihat pemimpin bercakaran di khalayak umum.

Lihat Komen
ADS