Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Musuhmu musuhku jua, kata Najib pada Trump
Diterbitkan:  Sep 12, 2017 11:48 AM
Dikemaskini: 5:16 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menegaskan bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berkongsi misi yang sama menentang pelampau agama dalam serangan pengganas yang dilancarkan atas nama Islam.

Dalam rencana di The Hill, harian Amerika Syarikat yang melaporkan politik tempatan dan isu-isu dibincangkan di Kongres, Najib berkata usahasama kedua-dua negara menangani masalah itu menjadi contoh terbaik hubungan dua hala.

"Musuh kamu - mereka yang menggunakan agama majoriti rakyat Malaysia dengan mendakwa keganasan mereka adalah islamik - adalah musuh kami juga," kata Najib yang tiba di White House, Washington untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump.

Najib telah tiba ke AS bagi bertemu dengan Trump di Rumah Putih.

Najib berkata beliau sedar serangan 11 September 2001 terhadap AS telah mengubah persepsi dunia terhadap keganasan.

Seperti negara kuasa besar itu, Malaysia juga, kata Najib, terus berdepan ancaman hasil daripada ideologi palsu dan berbahaya.

Pada masa yang sama, beliau juga menceritakan usaha Malaysia untuk menangani ancaman Negara Islam (IS) melalui promosi wasatiyah dan melalui program antiradikalisasi yang merekodkan kadar kejayaan 90 peratus.

"Saya bangga mengatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 serangan pengganas utama sejak 2012.

"Dan kita telah berjuang dengan menjadi rakan kongsi dalam gabungan global yang diterajui oleh AS untuk mengalahkan IS, melalui dialog strategik antara Kementerian Pertahanan dan Pentagon," katanya.

"Malaysia semakin yakin akan sentiasa berganding bahu dengan Amerika dalam misi penting ini untuk menghapuskan kumpulan pengganas yang tindakannya menghasut masyarakat sivil," tegasnya.

Selain memerangi keganasan, Najib mengulangi komitmennya untuk memperkuatkan lagi hubungan dua hala yang berlangsung lebih 60 tahun.

"Jika Amerika ingin mencari rakan kongsi untuk perdamaian, untuk kemakmuran dan keselamatan pada dekad yang akan datang pada abad ke-21, ia akan mencari rakan sejati dan teguh di Malaysia.

"Ini adalah untuk 60 tahun akan datang," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS