Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jangan sesuka hati arah KWSP, Khazanah melabur di AS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya "mengarahkan" Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional untuk melabur di Amerika Syarikat, kata Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kedua-dua badan milik negara itu diuruskan secara profesional, dan kerajaan tidak boleh campur tangan dalam urusannya.

"Pelabur adalah 'penakut'. Mereka hanya akan melabur jika mendapat pulangan. Tetapi kini Najib mahu ambil kesempatan dan berkata sesuatu yang tidak sepatutnya, kerana KWSP dan Khazanah adalah pelabur profesional.

"Mereka tidak boleh diarahkan Najib untuk membuat pelaburan pembangunan jika tidak memberikan pulangan bagus kepda Malaysia," katanya pada sidang media Pakatan Harapan (HARAPAN) di Petaling Jaya hari ini.

Dalam kenyataannya sebaik bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Rumah Putih dua hari lalu, Najib berkata Khazanah akan meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat manakala KWSP akan menggandakannya.

Pengumuman itu menarik perhatian ramai dan KWSP dalam kenyataannya semalam berkata mereka membuat penilaian yang ketat sebelum membuat apa-apa pelaburan.

Sementara itu Pengarah Strategi PKR SIm Tze Tzin mengingatkan yang sekarang bukan masa terbaik untuk membuat pelaburan di sana, memandangkan trend peningkatan pasaran saham AS sejak sembilan tahun lalu.

Mengakui KWSP adalah badan dana yang diuruskan dengan baik, beliau bagaimanapun berharap mereka akan membuat penilaian terperinci sebelum melabur dan tidak tunduk begitu sahaja terhadap arahan Najib.

"Ini adalah peningkatan terbesar dalam sejarah Bursa Saham New York. Maka jika anda ingin melabur, anda membuatnya ketika (nilainya) rendah dan menjualnya di saat ia tinggi...keuntungan yang anda akan dapat mungkin tidak sebaik ketika selepas krisis subprima pada 2008 dan 2009.

"Ramai rakyat menyuarakan kebimbangan. Jika ada apa-apa berlaku atau ada 'pembetulan' di pasaran saham, wang persaraan mereka akan terancam," katanya.

"Pembetulan" pada pasaran saham adalah tindakan pengubahsuaian, biasanya melibatkan penurunan harga secara sementara yang mengganggu trend peningkatan dalam pasaran.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS