Paling Popular
Terkini

WAWANCARA |  Hampir dua dekad Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi watak terpenting parti pembangkang untuk mengalahkan BN yang berkuasa sejak negara ini merdeka.

PKR pula secara khusus menjadikan susuk terpenting dalam perjuangan mereka selepas pemenjaraannya yang dianggap bermotif politik.

Itu antara realiti dalam politik Malaysia pada hari ini. Nama Anwar selalu menjadi sebutan dan rujukan di mana-mana.

Ketika pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin menghampiri anak perempuan Anwar sendiri berpendapat parti pembangkang perlu bergerak lebih jauh - bukan sekadar dibayangi batang tubuh bapanya.

"Akhirnya saya rasa Anwar sendiri mahu kami bergerak keluar dari bayang-bayangnya," kata Nurul Izzah Anwar dalam satu temu bual eksklusif dengan Malaysiakini Khamis lalu.

Memuji komitmen dan kesanggupan Anwar mengorbankan kebebasan peribadinya untuk "Malaysia yang lebih baik" Nurul Izzah berkata idealisme serta perjuangan bekas timbalan perdana menteri itu wujud dalam PKR sebagai panduan parti.

Namun Nurul Izzah menegaskan PKR bukan sebuah parti berasaskan personaliti mana-mana individu.

Kenyataan naib presiden PKR itu kelihatan turut selari dengan pendirian dibuat Anwar pada Jun lalu yang beliau tidak akan menawarkan diri sebagai perdana menteri jika gabungan pembangkang berjaya mengetepikan BN pada PRU ke-14 nanti.

Keyataan Anwar itu dibuat ketika pelbagai pihak berhujah mengenai calon paling sesuai diangkat menjadi perdana menteri selepas ini.

Sebahagian pihak dalam PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) melihat Anwar satu-satunya calon yang ada namun bekas timbalan perdana menteri itu berkata, polemik berkenaan hanya mengganggu tumpuan mereka daripada isu yang lebih penting.

Dihukum penjara lima tahun, Anwar dijangka dibebaskan pertengahan tahun depan dengan mengambil kira aspek berkelakuan baik semasa dalam tahanan.

Namun beliau masih terhalang daripada terbabit dalam aktiviti politik selama lima tahun selepasnya.

Dalam keadaan begitu Nurul Izzah membayangkan ketiadaan Anwar akan dirasai ramai. Di sebalik keadaan itu beliau tetap mempunyai keyakinan yang tinggi terutama membabitkan wanita.

"Kita perlu fokuskan kepada kekuatan teras yang ada - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (isteri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) yang mempunyai pengikut tersendiri.

"Wanita sentiasa tidak beri keutamaan yang mencukupi. Saya berasakan bahawa ia adalah zeitgeist untuk memperkasakan wanita.

"Ia adalah masa kita untuk mencorakkan masa depan Malaysia," kata anggota parlimen Lembah Pantai itu.

Bagaimanapun untuk benar-benar keluar daripada bayangan Anwar, Nurul Izzah berkata, pembangkang mesti mendapat sokongan besar-besaran masyarakat bagi membolehkan perubahan berlaku.

"Jika anda mahu keluar dari bayang-bayang itu, kita perlu mengumpul sokongan semua pihak, termasuk kekuatan dan sokongan anggota PAS.

"Jika kita boleh mendapat sokongan bekas diktator (Dr Mahathir) menerika reformasi, takkanlah anda tidak boleh mendapat sokongan orang lain," katanya.

Berikut adalah antara petikan temu bual Malaysiakini bersama Nurul Izzah:

Adakah anda akan mempertahankan kerusi Lembah Pantai? Ada cakap-cakap menyatakan anda akan berpindah ke Permatang Pauh?
Saya suka khabar angin. Malaysia dibangunkan atas khabar angin - sekurang-kurangnya kerana kita tidak memiliki akses kepada media arus perdana. Terima kasih untuk Malaysiakini yang boleh menjelaskan sesetengah khabar angin.

Menjadi satu kebanggaan (kerana menjadi anggota parlimen Lembah Pantai) sebab saya bertanding pada 2008 dan ia merangkumi Bangsar, Lembah Pantai, Kerinchi.

Lembah Pantai ialah sebuah mikrokosma Malaysia dan di situ saya berpeluang mewakili mereka.

Saya berbesar hati dengan pengalaman itu, terutamanya atas kemenangan untuk penggal kedua di kerusi paling panas (di Wilayah Persekutuan) yang sebelum ini diwakili Tan Sri Sharizat Abdul Jalil dan seorang menteri baru (Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin) yang menguasai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Saya banyak belajar. Saya ingin berkhidmat kepada mereka (Lembah Pantai) sekali lagi. Tetapi kita semua terikat dengan keputusan yang dibuat oleh biro politik. Ini adalah jawapan saya ketika orang bertanya mengenai soalan sama pada 2008.

Sekarang kami melawat kawasan pilihan raya terutama di tempat orang memerlukan bantuan dan kami merancang sambutan Deepavali bersama-sama.

Jadi bagi saya sehingga pilihan raya diadakan medan tempur saya ialah di Lembah Pantai. Begitulah saya melihatnya.

Jika Biro Politik PKR memutuskan anda perlu ke Permatang Pauh, adakah anda akan pergi ke sana?
Ya, sudah tentu.

Sebagai anggota parti saya menjangkakan semua calon yang tidak digugurkan akan mengikut arahan parti.

Ada kebebasan tertentu untuk anda sebagai individu tetapi di sana juga ada tanggungjawab kepada pertubuhan, dan tanggungjawab kepada komuniti.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS