Paling Popular
Terkini

Keputusan kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak ada kaitan dengan skandal 1MDB, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Menurut perdana menteri cukai 6 peratus itu diperkenalkan supaya asas ekonomi negara kekal kuat ketika suasana global tidak menentu.

"Ia (GST) tak ada kena mengena langsung dengan 1MDB yang menunjukkan kesan pelan rasionalisasi begitu baik.

"Memang tak ada kaitan, dan sesiapa yang mendakwa sebaliknya adalah orang yang sengaja berbohong dan cuba mengelirukan rakyat Malaysia," katanya.

Najib berucap di majlis makan malam sempena ulang tahun ke-50 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur hari ini.

Pengkritik mendakwa pelaksanaan GST sejak April 2015 sebagai punca kenaikan harga barang serta kos hidup sebahagian besar rakyat Malaysia.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula - pada bulan lalu - menuduh sebahagian daripada hutang ditanggung 1MDB dibayar oleh rakyat melalui pelbagai cukai dikutip kerajaan, termasuk GST.

Najib kemudian menggesa rakyat menolak tuduhan berkenaan yang dianggapnya sebagai suatu penipuan.

Kata perdana menteri ramai pakar ekonomi di seluruh dunia memuji Malaysia kerana melaksanakan GST sebagai langkah mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

"Semua ini bukan jadi begitu saja. Sebaliknya seperti diketahui MIDA, ia disebabkan ketelitian kerajaan memacu ekonomi negara," katanya.

Turut hadir di majlis itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Ahmad Maslan serta Pengerusi MIDA Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS