Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mempertikaikan cara Menteri Besar Selangor menguruskan isu rumah serta binaan di pekarangan Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Kata JASA Datuk Seri Azmin Ali boleh berunding dengan penjual nasi lemak anak dara yang berniaga tanpa lesen, manakala rumah urut, pusat perjudian dan "rumah maksiat haram" di Selangor tidak dirobohkan serta-merta.

Bagaimanapun kata agensi yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu, kerajaan negeri bertindak menghalau serta merobohkan binaan di pekarangan masjid berkenaan tanpa memberi sebarang pampasan.

Langkah itu juga katanya dilihat berlaku secara terburu-buru.

"Berbeza dengan pendekatan Azmin dalam soal penganjuran pesta arak.

"Pesta arak bakal dibuat di Kelang selepas Majlis Perbandaran Kelang membenarkan program berkenaan diadakan walaupun mendapat bantahan penduduk," kata JASA dalam satu kenyataan hari ini yang merujuk kepada Festival F& B Jerman.

Pada 4 Okt lalu penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTP) merobohkan dua rumah serta tiga kedai yang dibina di atas tapak yang dipajakkan kepada Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB).

Cukup kejam sekali

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Difahamkan penghuni tersebut membawa isu berkenaan ke mahkamah pada Mei lalu dan hakim memutuskan tuntutan plaintif ditolak.

Difahamkan juga penghuni terbabit diberi tempoh sehingga 1 Oktober untuk mengeluarkan barang-barang mereka dari premis berkenaan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil selepas tarikh itu.

Kerajaan Selangor kemudian bersetuju menempatkan dua keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat operasi berkenaan ditempatkan di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara.

Kata Azmin keputusan itu dibuat susulan perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

Menteri besar Selangor juga meminta Pegawai Daerah Petaling untuk bekerjasama dengan PHSSB bagi menguruskan perpindahan kedua-dua keluarga terbabit dengan segera.

“Untuk maksud itu, kerajaan negeri bersetuju untuk membiayai kos sewa unit-unit kediaman tersebut bagi tempoh enam bulan sebelum ia ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mendakwa acara pesta arak itu diingini oleh "pemimpin DAP" JASA seterusnya berkata Azmin tidak dapat berbuat apa-apa dalam isu berkenaan apabila dua Anggota Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan Teresa Kok (Seputeh) bersungguh-sungguh mempertahankannya.

Kata JASA Azmin tidak boleh menghalang "pesta arak yang dimahukan DAP" namun kerajaan negeri dengan mudah merobohkan bangunan berkenaan.

"Inilah cara pentadbiran Azmin dan DAP di Selangor. Cukup kejam sekali.

"Apalah salah rumah kuarters itu berbanding pesta arak?" katanya.

Rizal: Boleh roboh, tapi berhemahlah

Sementara itu, Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor mengakui kerajaan negeri mempunyai hak untuk merobohkan bangunan itu tetapi ia mesti dilakukan dengan berhemah.

“...saya difahamkan mangsa sudah meminta tempat tinggal alternatif dan sedikit pampasan tapi tidak diberi.

“Setelah tindakan meroboh dikuat kuasa dan kes ini menjadi isu, barulah kerajaan negeri Selangor nak beri rumah,” katanya yang juga pembantu isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Menulis di Facebook, Rizal berkata dalam kes itu perbincangan hendaklah dibuat terlebih dahulu, lebih-lebih lagi apabila ia tidak melibatkan banyak keluarga.

“Tidak bolehkah berbincang dengan baik dahulu, bukannya ramai cuma dua keluarga sahaja,” katanya.

“ Tanpa perbincangan, terus roboh sehingga keadaan menjadi kecoh sampai FRU terpaksa berkeras,” katanya.